Anda di sini

Ketahui Apa Yang DiPerjuangkan Syarikat Anda, Kata Vivy Yusof

Seringkali kita dengar bahawa jika ingin menjana wang berjuta-juta, kita harus menyelesaikan permasalahan berjuta umat manusia. Dalam erti kata lain, idea perniagaan yang terbaik menawarkan nilai dan juga kemudahan kepada pelanggan.

Antara salah satu daripada kisah kejayaan yang sangat menyuntik inspirasi, FashionValet adalah sebuah kedai fesyen dalam talian yang pertama di Malaysia. Ia merupakan tempat sehenti bagi pelanggan yang mencari-cari fesyen berkualiti tinggi pada harga mampu milik.

Pengasas bersama Vivy Yusof dan Fadzarudin Shah telah membuktikan bahawa mereka merupakan rakan kongsi yang sukar diatasi. Dari cuma tiga orang pada tahun 2010, perniagaan mereka kini menggaji 150 orang pekerja. Syarikat ini kini menawarkan 500 jenama untuk pelanggan serata dunia.

Titik permulaan

Vivy dan Fadza bertemu semasa mereka sama-sama menuntut di London. Vivy ialah siswazah perundangan dari London School of Economics manakala Fadza, siswazah kejuruteraan dari Imperial College London.

Kedua-dua mereka berkongsi keghairahan membeli-belah dalam talian. Apabila pulang ke tanah air, mereka menyedari mereka rindukan kemudahan membeli-belah dalam talian, seperti yang dinikmati di United Kingdom.

Pasangan rakan kongsi ini, yang juga suami isteri, mendapati mereka perlu memandu serata Kuala Lumpur untuk mencari jenama pereka kegemaran mereka. 

Detik ‘A-HA’ yang mencetuskan idea untuk melahirkan FashionValet terjadi semasa mereka memandu dalam hujan renyai-renyai dan diselubungi kekecewaan apabila tidak menemui semua jenama kegemaran mereka di bawah satu bumbung.

Kisah terungkap

Sebagai tetamu jemputan AmBank BizClub Show yang berlangsung semasa AmBank BizCONFERENCE di Sabah baru-baru ini, Vivy dan Fadza ditemu bual oleh Ketua Pegawai Eksekutif Leaderonomics, Roshan Thiran. Di hadapan audiens yang begitu terpesona dengan mereka, pasangan ini menceritakan pengalaman membina FashionValet dan bagaimana perniagaan ini boleh berkembang maju sehingga berjaya seperti hari ini.

Berkongsi tentang semangat keusahawanannya, Vivy menceritakan bahawa dia seorang yang suka memberontak tetapi berazam tinggi sejak dari kecil. Walaupun memeningkan kepala guru-gurunya, Vivy sering mendapat semua A dalam mata pelajarannya.

Vivy sentiasa bersungguh-sungguh merebut apa sahaja peluang perniagaan, sekalipun kecil nilainya, seperti mencipta rantai tangan persahabatan untuk rakan sedarjah dan mengecaj buku hasil tulisannya pada harga RM1 sekali sewa.

Rakan kongsi yang betul

Dengan keperibadian yang lebih introvert, berlawanan dengan Vivy, Fadza mendedahkan bahawa walaupun mereka mempunyai rasa dan sukakan benda yang berlainan, pasangan ini berkongsi nilai yang sama. Melalui nilai-nilai utama inilah kedua-dua perkongsian profesional dan peribadi mereka mekar subur.

Di FashionValet, Vivy sebagai Ketua Pegawai Kreatif menguruskan urusan pembelian, barang dagangan dan pemasaran kreatif. Fadza pula sebagai Ketua Pegawai Eksekutif mengendalikan operasi dan kewangan harian.

Seperti yang dijelaskan Vivy, rakan kongsi yang betul melengkapi kekuatan kita dan ini boleh terjadi sebaliknya. Maka aspek ini penting untuk melahirkan model perniagaan yang berjaya.

Jangan mudah berpuas hati 

Walaupun FashionValet kini merupakan perniagaan yang bernilai jutaan dolar dan sedang berkembang maju, terdapat beberapa cabaran besar yang dihadapi semasa perniagaan ini mula-mula ditubuhkan, yang memerlukan perubahan ketara dari segi cara perjalanan syarikat.

Fadza menceritakan bahawa semasa FashionValet baharu sahaja ditubuhkan, ia tiada persaingan. Hasilnya pasukan mereka semakin selesa sehinggalah mereka perlu menghadapi persaingan daripada Amerika Syarikat dan Eropah.

Ditanya tentang persaingan, Fadza memberi komen, “Ini membuatkan kami sedar bahawa kami sedang duduk di atas lubuk emas dan kami hanya bersenang-senang tanpa melakukan apa-apa. Pesaing mula mengikat kontrak dengan jenama-jenama yang kami pasarkan, dan kami sedar bahawa kami perlu bersaing dengan mereka. Untuk enam bulan pertama, kami kalah teruk.”

Berpegang kepada misi utama

Untuk terus mengasah taring dalam arena fesyen, pasangan ini memutuskan bahawa daripada bersusah payah bersaing dengan mana-mana jenama yang muncul, mereka melepaskan jenama-jenama yang murah dan hanya memberi tumpuan pada jenama yang berkualiti tinggi, serta masih kekal dengan misi utama, iaitu menaikkan imej jenama tempatan sehingga mencapai taraf antarabangsa.

Satu-satunya perjuangan FashionValet adalah tidak akan sekali-kali beralih arah daripada fokusnya untuk menarik perhatian dunia dengan fesyen terbaik yang dibawa khas dari Malaysia.

Semasa syarikat ini berkembang, dengan bantuan daripada pelabur dalam dan luar negara, keyakinan pelanggan terhadap jenama ini bertambah kerana pelanggan percaya dengan nilai kualiti dan keaslian Fashionvalet dalam mendukung bakat tempatan.

Artikel berkaitan: AmBank Bantu Bangunkan PKS

Mentor dan maklum balas

Salah satu faktor utama yang menjadikan syarikat ini berkembang pesat ialah kesediaan pasangan ini menerima maklum balas daripada mentor serta pelanggan berkenaan pandangan mereka terhadap FashionValet dan kualiti perkhidmatannya.

Vivy berkata, “Tidak mampu saya tekankan lagi, bahawa mentor kami telah mengubah pandangan kami, kerana apabila anda terlibat dalam perniagaan, anda tidak dapat melihat dari sudut pandang orang luar, sebab itulah anda tidak sedar kenapa usaha anda tidak berhasil. Tetapi jika anda bertanya pendapat orang luar untuk meneliti syarikat anda, ini akan membuka mata anda pada banyak perkara.”

Kepimpinan

Walaupun tidak pernah mempunyai pengalaman dalam membangunkan perniagaan, Vivy percaya bahawa kepimpinan yang kuat boleh menghasilkan kesan yang nyata berbeza, terutamanya apabila berurusan dengan pekerja.

Berkongsi tentang pengalamannya semasa baharu menapak langkah, Vivy berkata, “Kami belajar daripada pengalaman sedikit demi sedikit.  Kami membuat banyak kesilapan. 

  • Menetapkan jangkaan: Perkara utama yang perlu kita lakukan adalah menetapkan jangkaan untuk pasukan dan apa yang perlu dicapai mereka.
  • Beri penghargaan apabila tiba masanya: Kedua, sebagai seorang pemimpin, kita perlu memberi penghargaan apabila tiba masanya. Manusia sangat suka menerima pengiktirafan dan penghargaan, walaupun dengan komen ringkas ‘kerja anda bagus’. Ini  sangat bermakna buat mereka.”

Artikel berkaitan: Penghargaan: Rendah Kos, Tinggi Impak

Teknik penceritaan

Dalam membina jenama yang berjaya, Fadza percaya bahawa teknik penceritaan memainkan peranan utama untuk menggalakkan orang ramai menyambut baik apa yang dilakukan sebagai sebuah syarikat.

“Salah satu kelebihan Vivy ialah dia seorang pencerita yang hebat,” kata Fadza, “dan saya rasa teknik penceritaan merupakan kekuatan syarikat kami. Cara kami mencari idea untuk pemasaran bukanlah dengan menyentuh soal jualan sahaja. Kami juga mencari jalan untuk mewujudkan gembar-gembur atau membuatkan orang ramai terus berhubung dengan kami.”

Nilai yang berharga

Walaupun teknik penceritaan adalah resepi penting bagi kejayaan sesuatu jenama, Vivy menyarankan jika sesebuah syarikat ingin menawarkan sesuatu kepada pelanggan, produk tersebut perlulah mempunyai nilai yang tinggi, jika tidak, tiada alasan untuk pelanggan datang membeli semula.

Dia berkata, “Semuanya bukanlah hanya tentang penceritaan. Jenama hasil keluaran rakyat Malaysia tidak mampu bertahan lama disebabkan sikap suka meniru. Apa-apa sahaja yang berhasil waktu itu, kita tiru sahaja. Jadi berapa lama anda mampu bertahan? Bagaimana anda boleh kekal jika tidak berpegang pada apa-apa?

“Saya benar-benar percaya bahawa setiap jenama perlu ada tujuannya, dan orang di luar sana mahu menjadi sebahagian daripadanya. Anda boleh menghasilkan penceritaan yang terbaik di dunia, tetapi jika produk anda teruk, ia sememangnya teruk.

“Jadi anda harus menawarkan pakej yang bagus – jenama, apa yang anda perjuangkan… semua ini harus tampak jelas. Tetapi pada masa yang sama, produk anda mestilah yang terunggul.”

Kesimpulan

Berikut merupakan beberapa mesej utama daripada temu bual ini:

  • Jangan mudah berpuas hati, terutamanya apabila anda telah menikmati kemanisan awal daripada kejayaan perniagaan. Sentiasa peka dengan apa dan siapa yang anda hadapi (pesaing), dan sentiasa mendahului pesaing anda.
  • Teruskan bercita-cita tinggi dan jelas dengan hala tuju perniagaan. Letakkan penanda aras pada perniagaan anda melalui perbandingan dengan jenama/syarikat terbaik dunia.
  • Percaya dengan tujuan anda dalam perniagaan, dan sampaikannya kepada pengikut melalui penceritaan yang menarik dan asli.
  • Ambil nasihat daripada orang yang tidak setuju dengan anda. Ini kerana perspektif ‘dari luar ke dalam’ yang jujur daripada mereka boleh menjadi kunci untuk perniagaan anda melangkah lebih jauh.
  • Jadilah versi terbaik diri anda. Kenali kekuatan dan kelemahan diri. Dapatkan panduan daripada mentor. Cari rakan kongsi atau bakat yang boleh melengkapi kelemahan anda.
  • Jangan biarkan ketakutan tentang ‘apa yang akan jadi’ menyekat anda daripada mencuba idea baharu. Jika anda jatuh, jatuhlah. Teruskan dengan mencari jalan untuk bangkit dan terus berlari.
  • Daripada merungut tentang onak dan duri, ubah kekangan ini menjadi peluang bagi perniagaan anda.

Sumber