Anda di sini

Dua lelaki didenda kerana kesalahan dadah

Advertisement

MIRI: Dua lelaki dalam dua kes berasingan masing-masing didenda RM2,800 dan RM2,900 oleh Mahkamah Majistret kerana kesalahan menggunakan dadah tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Mohammad Syamil Dolhan, 24, dari Kampung Batu 8 Jalan Miri-Bintulu dan Voon Wei Kiat, 41, dari MDL Garden di sini telah didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dikenakan denda RM5,000 atau penjara dua tahun dan serta-merta dikehendaki menjalani pengawasan selama tempoh tidak kurang dari dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun mengikut Seksyen 38B ADB 1952.

Berdasarkan kes pertama, Syamil didapati telah menggunakan dadah berbahaya jenis Amphetamine dan Methamphetamine yang terkandung di dalam Jadual Pertama ADB 1952 (Akta 234), dengan cara memasukkan dadah tersebut ke dalam tubuh badan sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 10.35 malam, 1 Ogos tahun ini di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Miri.

Manakala dalam kes kedua, Voon didapati telah menggunakan dadah berbahaya jenis 11-nor-delta-9-tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid dengan cara memasukkan dadah tersebut ke dalam tubuh badan sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada jam 11.30 malam, 14 Ogos tahun ini di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Miri.

Bagi kes pertama, Syamil didenda RM2,800 atau tiga bulan penjara. Manakala Voon didenda RM2,900 atau tiga bulan penjara.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani pengawasan pihak polis selama tempoh dua tahun.

Advertisement