Anda di sini

Kim Chol sukar bernafas sebab paras enzim cholinesterase rendah

Advertisement

SHAH ALAM: Seorang pegawai perubatan semalam memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa Kim Chol atau Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara, mengalami kesukaran untuk bernafas berikutan paras enzim cholinesterase yang menjaga keseimbangan ototnya amat rendah sehingga membawa kepada kematian.

Pegawai Perubatan Jabatan Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Nur Suraya Jamalludin, 33, yang mengesahkan keputusan ujian cholinesterase terhadap mangsa, berkata kekurangan enzim berkenaan akan menyebabkan paru-paru seseorang individu mengeluarkan bunyi berdehit.

Dr Nur Suraya yang menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin pada sesi pemeriksaan utama, berkata melalui keputusan ujian analisis yang diperoleh daripada pegawai sains jabatan sama, beliau mengesahkan bahawa paras enzim cholinesterase Kim Chol berada pada paras tidak normal iaitu 344 unit per liter.

Saksi pendakwaan ke-22 itu menjelaskan, enzim cholinestrase berperanan menjaga keseimbangan pengecutan dan pengenduran otot serta kawalan kelenjar.

Ditanya Wan Shaharuddin sama ada paras rendah enzim berkenaan mengganggu otot mangsa, saksi itu menjawab, ‘Ya’.

“Enzim ini akan menghidrolisiskan kolin yang berada di sektor di hujung saraf supaya pengenduran berlaku dan ia boleh berada dalam keadaan rileks selepas mengecut. Jika paras enzim itu rendah, pengecutan akan berterusan dan seseorang itu akan mengalami kesukaran bernafas.

“Ia juga menyebabkan pengecutan salur pernafasan dan pengeluaran banyak lendir di salur pernafasan menjadikan pernafasan lebih sukar yang membawa kepada kematian,” katanya.

Beliau memberi keterangan pada hari ke-21 perbicaraan kes warga Indonesia Siti Aisyah, 25, dan warga Vietnam Doan Thi Huong, 28, didakwa bersama-sama empat yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 9 pagi, 13 Feb lalu.

Dr Nur Suraya berkata selepas mengesahkan keputusan enzim cholinesterase Kim Chol, beliau kemudian menyerahkan keputusan itu kepada pegawai atasannya, iaitu Pakar Patologi Kimia HKL Dr Norashikin Othman.

Sementara itu, Pegawai Sains Forensik HKL,  Lai Phoh Soon, 31, yang mengendalikan spesimen darah Kim Chol memberitahu mahkamah bahawa beliau menjalankan proses mengempar darah bagi mendapatkan serum untuk dianalisis.

“Serum adalah lapisan cecair yang mengandungi protein untuk dianalisis,” kata saksi pendakwaan ke-20 itu.

Katanya, serum itu kemudian dimasukkan ke dalam botol dan dilabel dengan nama si mati sebelum diserahkan kepada Pegawai Sains di Jabatan Patologi HKL Nurulhuda Kaidar, 31, atas arahan Juru Perunding Kanan dan Ketua Jabatan Perubatan Forensik HKL Dr Mohd Shah Mahmood pada 16 Feb lalu.

Semasa pemeriksaan balas, peguam Gooi Soon Seng yang mewakili tertuduh pertama Siti Aisyah bertanyakan saksi sama ada proses mengempar darah perlu dilakukan dalam masa sejam selepas spesimen diterima, Lai menjelaskan, jika spesimen yang diterima tidak disimpan di dalam peti sejuk, ia perlu menjalani proses empar dalam masa sejam, bagaimanapun spesimen yang diterimanya difahamkan disimpan di dalam peti sejuk terlebih dahulu.

Ditanya sama ada tiub mengandungi darah yang diterimanya sebelum proses empar dijalankan perlu disimpan dalam keadaan menegak, saksi itu menjawab, “saya tidak pasti bagaimana Dr Mohd Shah menyimpan tiub itu”.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin bersambung hari ini. — Bernama

Advertisement