Anda di sini

Dua lelaki dipenjara 10 bulan kerana tolong sorok harta curi

Advertisement

MIRI: Dua lelaki masing-masing dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret kerana kesalahan menolong menyembunyikan harta curi.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara ke atas kedua-dua tertuduh dikuatkuasakan mulai tarikh jatuh hukuman.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Zuraini Ali Musa setelah meneliti beberapa aspek termasuk pengakuan salah dan rayuan kedua-dua tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukan mereka serta mengambil kira kepentingan awam

Bonifaces Bowen, 26, dari Lorong Delima Tudan 4 dan Wong Pook Chai, 24, dari Taman Ceria di sini telah didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Mengikut kesalahan ini, mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi tujuh tahun serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Menurut keterangan kes, kedua-dua tertuduh didapati dengan sengaja telah menolong menyembunyikan harta curi iaitu sebuah motosikal dengan nombor pendaftaran QMV16xx.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat bersama pada jam 6 pagi, 9 November lalu di sebuah kawasan ladang di Kuala Baram.

Pendakwaan dilakukan ASP Mary Ong.

Advertisement