Anda di sini

Terapkan elemen Industri 4.0 dalam sukatan pelajaran: Chua

Advertisement

Institusi pendidikan harus siapkan pelajar agar mereka tidak ‘terkejut’

 Chua (dua kiri) dan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, R. Vidyananthan melawat gerai pameran semasa Program Johor Menuju Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) dalam Memperkasa Modal Insan dan Industri di Johor Bahru, semalam. — Gambar Bernama
LAWAT PAMERAN: Chua (dua kiri) dan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, R. Vidyananthan melawat gerai pameran semasa Program Johor Menuju Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) dalam Memperkasa Modal Insan dan Industri di Johor Bahru, semalam. — Gambar Bernama

JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menggesa institusi pendidikan agar menimbang untuk menerapkan Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) ke dalam sukatan pelajaran mereka.

Ini adalah supaya pelajar dan graduan pada masa depan tidak terkejut dengan tuntutan industri yang semakin berkembang.

Timbalan Menterinya Datuk Chua Tee Yong berkata kementerian itu ketika ini sedang mengadakan perbincangan secara tetap dengan pemegang kepentingan relevan daripada industri dan ahli akademik bagi mendapatkan input, sebelum merangka sebarang dasar, agar hasilnya lebih holistik.

Menurut laporan ‘The Future of Jobs Report’ oleh World Economic Forum, 65 peratus daripada kanak-kanak yang memasuki sekolah rendah pada hari ini akan kelaknya nanti bekerja dalam bidang kerja yang benar-benar baharu. Kepentingan untuk membaharui kurikulum pendidikan adalah perlu bagi menjadikan tenaga kerja tempatan kita kompetitif dan bergerak seiring dengan trend mega global seperti Industri 4.0.

Bagi tujuan ini, Malaysia telah memperkenalkan pengkodan ke dalam sukatan pelajaran sekolah rendah bermula tahun ini untuk meningkatkan kesedaran mengenai bahagian perisian.

Saya juga gembira banyak institusi pendidikan peringkat tinggi telahpun memulakan inisiatif mereka sendiri menawarkan kursus seperti analisis data dan pemikiran reka bentuk,” katanya.

Chua berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Capaian bagi 4.0, di sini, semalam.

Beliau berkata pelancaran Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang dijenamakan semula baru-baru ini, menunjukkan komitmen kerajaan merealisasikan kepentingan transformasi TVET sebagai pembawa perubahan dalam meningkatkan daya saing, serta menambah baik kualiti tenaga kerja dan pembangunan ekonomi negara.

Transformasi TVET ini penting dalam mempersiapkan modal insan kita bagi menghadapi cabaran baharu Industri 4.0 dan kemunculan Ekonomi Digital. Kerajaan juga ketika ini sedang meneroka semua cara untuk memudahkan penerapan elemen Industri 4.0 dalam sistem sekarang.

Ini boleh dilihat menerusi inisiatif kerajaan dalam mengembangkan skop dana-dana di bawah pelbagai agensi, di mana, pengeluar akan diberi insentif untuk mempelbagaikan produk perbatasan yang membolehkan pengeluar meningkatkan tahap produktiviti mereka, termasuk meneroka elemen Industri 4.0,” katanya.

Chua juga berkata kerajaan menerusi MITI ketika ini sedang menerajui usaha membangunkam Dasar Rangka Kerja mengenai Industri 4.0 secara kerjasama dengan kementerian-kementerian utama seperti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Kewangan dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Dalam pengumuman Bajet 2018, kerajaan mewujudkan insentif khusus bagi merangsang industri tempatan ke arah Industri 4.0, termasuk geran padanan RM245 juta di bawah Dana Strategik Pelaburan Domestik (DISF).

Menurutnya, usaha-usaha sedang dijalankan untuk merangka rangka kerja dasar draf yang disasarkan dimuktamadkan pada suku pertama tahun depan.

MITI ketika ini menyasarkan pembuatan dan sektor perkhidmatan berkaitan pembuatan sebagai titik permulaan bagi penggunaan pakai Industri 4.0 di Malaysia.

Semasa perbincangan kami, kami sering menerima permintaan daripada syarikat, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana agar kerajaan menyokong perniagaan yang meneroka Industri 4.0.

Kriteria bagi insentif-insentif ini sedang dimuktamadkan oleh agensi kerajaan berkaitan. Saya harap penggiat industri akan mengambil kesempatan sepenuhnya daripada tawaran oleh kerajaan ini untuk meneroka Industri 4.0.” kata Chua. — Bernama

Advertisement