Anda di sini

Seluar dalam Kim Chol dipenuhi najis kesan agen VX

Advertisement

SHAH ALAM: Seorang pakar semalam memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa seluar dalam Kim Chol atau Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara yang didakwa mati akibat diracun agen saraf VX, dipenuhi dengan najis.

Pakar Perunding Perubatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Nurliza Abdullah, 52, yang menjalankan bedah siasat ke atas mayat Kim Chol berkata, kesan najis yang banyak pada seluar dalam mangsa ada kaitan dengan tanda-tanda keracunan.

Saksi itu berkata, dalam kes berkenaan, tanda-tanda keracunan dialami oleh Kim Chol adalah disebabkan keracunan agen saraf VX.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin semasa pemeriksaan utama, saksi itu berkata, kesan keracunan ke atas mangsa menyebabkan pergerakan otot beliau berkecamuk seterusnya menyebabkan najis terkeluar dengan sendiri.

Mengikut pemahaman saya, keracunan yang membabitkan agen saraf menyebabkan seseorang individu mengalami ‘cholinergic’, iaitu pelumpuhan otot dan pergerakan otot berkecamuk seterusnya menyebabkan najis terkeluar dengan sendiri,” katanya.

Saksi ke-19 itu memberi keterangan pada perbicaraan kes warga Indonesia Siti Aisyah, 25, dan warga Vietnam Doan Thi Huong, 28, didakwa bersama-sama empat yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 9 pagi, 13 Feb lalu.

Ketika menjawab soalan Wan Shaharuddin, Dr Nurliza berkata pemeriksaan juga mendapati anak mata mangsa juga menjadi kecil dan ia adalah abnormal kerana kebiasaannya disebabkan berlakunya keracunan.

Saksi ke-18, Sarjan Shamsul Bahrin Abdullah yang bertugas di Balai Polis klia2 pula memberitahu mahkamah bahawa beliau menghubungi Kedutaan Korea Utara pada jam 4.50 petang, 13 Feb lalu untuk memaklumkan mengenai kematian warganegara itu.

Ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad, beliau berkata, panggilannya dijawab oleh seorang lelaki dikenali dengan nama Kim Yu-song iaitu Kaunselor Kedutaan Korea Utara yang boleh bertutur dalam bahasa Melayu.

Saya memberitahu Kim Yu bahawa ada satu kematian berlaku membabitkan warga Korea Utara dengan nama Kim Chol dan saya juga memberi nombor pasport si mati serta meminta wakil kedutaan datang ke Jabatan Forensik Hospital Putrajaya untuk proses pengecaman mayat.

Kim Yu tidak memberikan apa-apa respons kecuali berkata ‘ya dan terima kasih’...Selepas itu saya masuk ke bilik mesyuarat balai polis klia2 tempat saya menyimpan barangan si mati dan nampak beberapa pegawai Cawangan Khas berpakaian preman berada di dalam bilik itu.

Seorang daripada pegawai Cawangan Khas itu beritahu saya bahawa si mati adalah abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara,” katanya sambil menambah beliau terkejut apabila mengetahui perkara itu.

Saksi itu berkata, tidak berapa lama kemudian, beliau menerima panggilan daripada Kim Yu yang bertanyakan lokasi mayat si mati ditempatkan dan tarikh bedah siasat.

Katanya, Kim Yu kemudian mengesahkan kehadirannya selepas diberitahu mayat ditempatkan di Jabatan Forensik Hospital Putrajaya dan bedah siasat akan dijalankan pada keesokan hari jam 10 pagi.

Keesokan hari, ketika berada di lobi Jabatan Forensik, saya melihat ada tiga lelaki yang mempunyai iras berbangsa Cina masuk ke dalam lobi...Dua daripadanya memakai baju kemeja manakala seorang yang agak berusia memakai baju labuh. — Bernama

Advertisement