Anda di sini

MDEC sasar RM544 juta pendapatan tambahan program e-Rezeki dan e-Usahawan

Advertisement

NILAI: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menyasarkan pendapatan dan jualan tambahan bagi program e-Usahawan dan e-Rezeki sebanyak RM544 juta tahun hadapan.

Ketua Pegawai Operasi MDEC, Datuk Ng Wan Peng berkata, pihaknya akan melatih 150,000 peserta baharu bagi program terbabit bagi mencapai sasaran tersebut.

Kita akan dapat mencapainya melalui kempen #YouCanDuit di mana kita sudah pergi ke seluruh negara mempromosikan peluang menjana pendapatan melalui program e-Rezeki dan e-Usahawan.

Kita juga akan terus memberikan penerangan dan latihan kepada peserta secara percuma supaya mereka dapat menggunakan pengetahuan ini untuk menjual barangan mereka di dalam talian,” katanya kepada Bernama pada Majlis Perasmian #YouCanDuit Negeri Sembilan di Universiti Sains Islam Malaysia di sini, kelmarin.

Ng berkata, peserta program juga digalakkan supaya pergi ke pusat e-Rezeki dan e-Usahawan di daerah masing-masing untuk mendapatkan kemudahan komputer dan jalur lebar secara percuma bagi mempromosikan produk perniagaan mereka.

Mengulas lanjut, Ng berkata, #YouCanDuit ini diperkenalkan untuk membantu golongan isi rumah berpendapatan rendah meraih pendapatan digital melalui e-Usahawan dan e-Rezeki. — Bernama

Advertisement