Anda di sini

Agensi kerajaan disaran kemuka penyata kewangan mengikut tempoh ditetapkan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Laporan Ketua Audit Negara 2016 menyarankan Badan Berkanun Persekutuan, Kumpulan Wang Persekutuan, Akaun Amanah dan agensi lain memastikan penyata kewangan dikemukakan mengikut tempoh ditetapkan dengan dokumen sokongan yang lengkap.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2016 (Pengesahan Penyata Kewangan Badan Berkanun Persekutuan, Akaun Amanah dan agensi Lain), sebanyak 126 penyata kewangan telah diberi Pendapat Tanpa Teguran, 12 diberi Pendapat Tanpa Teguran dengan Penekanan Ke Atas Perkara dan empat diberi Pendapat Berteguran.

Laporan yang dikeluarkan Jabatan Audit Negara itu turut menyatakan satu penyata kewangan diberi Pendapat Bertentangan dan dua penyata kewangan masih belum disahkan setakat 15 Sep 2017, kerana kelewatan mengemukakan penyata kewangan dan dokumen sokongan yang dikemukakan kepada Audit tidak lengkap.

Laporan tersebut turut mengesyorkan supaya Badan Berkanun Persekutuan, Kumpulan Wang Persekutuan, Akaun Amanah dan agensi lain memastikan penyediaan Penyata Kewangan selaras dengan Piawaian Perakaunan yang berkuat kuasa.

Bagi 2016, laporan tersebut mendedahkan sebanyak 78 agensi masih mengguna pakai Standard Pelaporan Entiti Swasta Malaysia (MPERS), 22 agensi mengguna pakai Standard Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS)/Standard Pelaporan Kewangan (FRS) dan 45 agensi telah mengguna pakai Standard Perakauan Sektor Awam Malaysia (MPSAS).

Badan Berkanun Persekutuan, Kumpulan Wang Persekutuan, Akaun Amanah dan agensi lain yang berprestasi rendah hendaklah mengambil tindakan proaktif dalam meningkatkan pendapatan melalui janaan sendiri dan mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan,” katanya.

Pada 2016 laporan tersebut menyatakan pendapatan 126 Badan Berkanun Persekutuan di bawah 23 kementerian meningkat 6.9 peratus kepada RM109.232 bilion berbanding RM102.169 bilion pada 2015.

Pendapatan sembilan Kumpulan Wang Persekutuan dan Akaun Amanah adalah berjumlah RM1.153 bilion, iaitu menurun sebanyak RM839 juta atau 42.1 peratus berbanding RM1.992 bilion pada 2015,” katanya.

Laporan tersebut turut menyarankan Badan Berkanun Persekutuan, Kumpulan Wang Persekutuan, Akaun Amanah dan agensi lain untuk memantau pengurusan dan prestasi penggunaan geran bagi tujuan yang ditetapkan. — Bernama

Advertisement