Anda di sini

145 penyata kewangan diaudit untuk Badan Berkanun, Kumpulan Wang Persekutuan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Jabatan Audit Negara telah menjalankan pengauditan terhadap 145 Penyata Kewangan bagi tahun kewangan 2016 untuk Badan Berkanun Persekutuan, Kumpulan Wang Persekutuan, Akaun Amanah dan agensi lain pada tahun ini.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2016 (Pengesahan Penyata Kewangan Badan Berkanun Persekutuan, Kumpulan Wang Persekutuan, Akaun Amanah dan Agensi Lain), setakat 15 September 2017,  jabatan telah mengeluarkan 143 daripada 145 penyata kewangan.

Dua penyata kewangan bagi tahun kewangan 2016 iaitu Lembaga Pelabuhan Bintulu dan Lembaga Ahli Geologi Malaysia belum dapat disahkan kerana kelewatan mengemukakan penyata kewangan dan dokumen sokongan yang tidak lengkap.

Pengauditan terhadap 28 penyata kewangan tahun 2016 dijalankan oleh jabatan tersebut manakala baki 117 diaudit oleh firma audit swasta, menurut laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Audit Negara itu.

Menurut intisari laporan tersebut, pendapatan 126 Badan Berkanun Persekutuan di bawah 23 kementerian berjumlah RM109.232 bilion, meningkat sejumlah RM7.063 bilion atau 6.9 peratus berbanding RM102.169 bilion pada 2015.

Pendapatan sembilan Kumpulan Wang Persekutuan dan Akaun Amanah pula berjumlah RM1.153 bilion, susut sejumlah RM0.839 bilion atau 42.1 peratus berbanding RM1.992 bilion pada 2015.

Sebanyak 126 Badan Berkanun Persekutuan di bawah 23 kementerian mencatatkan baki lebihan pendapatan berjumlah RM46.413 bilion berbanding RM42.386 bilion pada 2015.

Lebihan/(kurangan) pendapatan 10 Kumpulan Wang Persekutuan dan Akaun Amanah berjumlah RM330.47 juta iaitu penurunan sejumlah RM4.30 juta berbanding RM334.77 juta pada 2015, katanya.

Aset bagi 126 Badan Berkanun Persekutuan tersebut pula berjumlah RM1,742.159 bilion mencatatkan peningkatan sejumlah RM129.307 bilion atau lapan peratus berbanding RM1,612145.852 bilion pada 2015.

Aset bagi 10 Kumpulan Wang Persekutuan dan Akaun Amanah berjumlah RM20.889 bilion, meningkat RM1.159 bilion atau 5.9 peratus berbanding RM19.730 bilion pada 2015.

Bagi liabiliti, terdapat peningkatan sebanyak RM5.505 bilion atau empat peratus daripada RM138.509 bilion pada 2015 kepada RM144.014 bilion pada 2016 bagi 126 Badan Berkanun Persekutuan tersebut.

Liabiliti bagi 10 Kumpulan Wang Persekutuan dan Akaun Amanah pula, berjumlah RM1.044 bilion iaitu turun sejumlah RM8.43 juta atau 0.8 peratus berbanding RM1.053 bilion pada 2015. — Bernama

Advertisement