Anda di sini

Alvin Chong kini artis Universal Music, single baharu dalam ‘Coffee Prince’

Advertisement
__alt__

MULA mencipta nama menerusi drama ‘Suri Hati Mr Pilot’, jadual kerja pelakon dan penyanyi Alvin Chong, 26, semakin padat sehingga membuatkannya memilih untuk mengikuti jejak langkah Fazura selepas melihat kelancaran perjalanan rentak seni penyanyi itu berada di bawah pengurusan Universal Music.

 Alvin, yang terkenal melalui drama-drama tempatan masa kini, merupakan artis kedua yang berada di bawah pengurusan 360 milik Universal Music.

 Keputusan tersebut diambil bukan sekadar untuk memastikan kerjayanya dalam bidang seni lebih kukuh, tetapi Alvin mahu memastikan impak yang besar dan lebih positif terjadi kepada karier seninya.

 “Untuk beberapa tahun lalu, saya sendiri menguruskan perjalanan karier saya dan ia berjalan dengan baik.

 Sejujurnya, saya pernah memberitahu diri sendiri yang saya tidak akan menandatangani mana-mana kontrak kerana saya mampu untuk melakukannya sendiri.

 Namun sejak akhir-akhir ini, jadual saya semakin padat dan ia berlaku dengan cepat,” ujar Alvin.

 Kontrak yang ditandatangani Alvin Chong bersama syarikat rakaman gergasi Universal Music itu bukan sahaja sebagai seorang penyanyi, sebaliknya, Alvin turut memberi kepercayaan penuh terhadap Universal Music untuk menguruskan segala urusan karier seninya termasuk kontrak sebagai duta dan hal berkaitan.

 “Saya mula sedar bahawa saya hanya mampu melakukanya beberapa perkara sahaja.

 Universal Music datang pada waktu yang tepat.

 Mereka menunjukkan potensi untuk saya melangkah dengan lebih jauh pada masa hadapan.

 “Saya percaya dengan bernaung di bawah bumbung Universal Music, karier saya akan beranjak ke peringkat yang seterusnya.

 Lebih penting lagi, kami berada dalam visi yang sama iaitu mahu melebarkan pasaran saya ke luar negara,” katanya.

 Sehubungan dengan itu pihak Universal Music sudah merangka gerakan perjalanan seni Alvin termasuk menyusun projek-projek Alvin di luar bidang nyanyian seiring dengan kepercayaan yang diberikan untuk memperkembangkan karier seninya.

 “Alvin diuruskan oleh pasukan ‘New Business’ dan kami mengikat kontrak dengan bakat/ selebriti dan bukan hanya penyanyi.

 Adalah menjadi keutamaan untuk meletakkan Alvin bersama pasukan ini sejak dari awal dan kami akan merancang promosi serta pelan aktivasi beserta jenama untuk memastikan perkembangan karier selebriti yang berada di bawah bumbung Universal Music,” ujar Pengarah Urusan Universal Music Malaysia & Singapura, Kenny Ong.

 “Tinggi harapan kami, agar kerjasama yang dijalinkan ini akan memancarkan lagi bakat Alvin dalam dunia hiburan,” ujar Kenny.

 Sementara itu, Kim Lim selaku Pengarah New Business Universal Music Malaysia berkata, “Kami telah berbincang dengan beberapa pihak untuk mengembangkan bakat Alvin bukan sahaja di Malaysia tetapi juga ke peringkat rantau Asia dan antarabangsa.

 “Selepas melihat kejayaan yang diraih oleh Fazura, kami bersedia untuk menggerakkan kembara seni Alvin di bawah pasukan New Business kami,” tambah beliau lagi.

 Dalam perkembangan terkini, Alvin Chong akan melancarkan sebuah single baharu berjudul ‘Mencintaimu’ pada akhir bulan November ini, di mana Alvin akan berkolaborasi dengan Sid Murshid, seorang artis baharu yang berbakat yang juga bernaung di bawah syarikat Universal Music juga.

 Lagu bertajuk ‘Mencintaimu’ ini akan dimasukkan sebagai salah satu lagu runut bunyi untuk drama bersiri ‘Coffee Prince’, lakonan Fattah Amin dan Janna Nick yang akan memulakan tayangannya di Astro Ria mulai malam ini (27 November 2017), jam 10 malam bagi menggantikan drama ‘Red Velvet’ lakonan Neelofa dan Aliff Sattar yang baharu sahaja menamatkan siarannya pada Khamis lepas.

Advertisement