Anda di sini

Pemuda mengaku bersalah cederakan warga emas

Advertisement

MIRI: Seorang pemuda dijatuhi hukuman penjara tujuh hari dan denda RM1,000 atau dua minggu penjara oleh Mahkamah Majistret di sini semalam kerana mencederakan seorang lelaki warga emas.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Zuraini Ali Musa setelah Raymond Bliang Badi, 23, dari Tudan Fasa 6 di sini mengaku bersalah atas tuduhan dibacakan terhadapnya mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Menurut keterangan kes, tertuduh dengan sengaja mendatangkan kecederaan  di bahagian dagu kiri dan badan David Remang, 62.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu jam 11 malam, pada 12 November lalu di sebuah lot, Tudan Desaras Fasa 6 di sini.

Dihadapan mahkamah, tertuduh merayu hukuman ke atasnya diringankan memandangkan ini adalah kesalahan pertamanya.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor.

Advertisement