Anda di sini

Wanita Vietnam sekali lagi didakwa rasuah

Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan wanita warga Vietnam bergelar Datuk, yang pernah didakwa atas kesalahan rasuah, sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas dua pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM350,000 kepada pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sebagai dorongan untuk melepaskan empat bot nelayan Vietnam.

Tertuduh, Datuk Maimunah atau nama sebenarnya Tran Thi Mai, 41, yang merupakan ejen menguruskan lesen kapal kargo, mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah secara rasuah memberi wang berjumlah RM300,000 kepada Muhammad Sani Abdullah, 31, bagi pihak Amran Daud, 55, yang merupakan Pengarah Maritim Daerah Sedili, Johor.

Wang itu didakwa sebagai sebagai dorongan untuk melepaskan tiga buah bot nelayan Vietnam yang ditahan APMM Tanjung Sedili, Kota Tinggi, yang disyaki melakukan kesalahan menceroboh perairan Malaysia untuk menangkap hasil laut.

Wanita empat anak itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di Hot Gossip Cafe, Hotel Park Royal, Jalan Bukit Bintang, di sini, antara jam 6.30 petang dan 7.30 malam, 2 Mei lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahaan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Tran didakwa melakukan perbuatan sama berjumlah RM50,000, bagi melepaskan sebuah bot nelayan Vietnam, di Restoran Starbucks, Pearl Point Shopping Mall di sini, pada jam 4 petang, 12 Mei lalu mengikut seksyen sama.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa SPRM, Wan Ahmad Nizam Wan Omar menawarkan jaminan sebanyak RM500,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan dua  penjamin warga tempatan.

Bagaimanapun, tertuduh, yang diwakli peguam G.K Sritharan, memohon jumlah jaminan itu dikurangkan atas alasan  tertuduh mempunyai tanggungan keluarga.

Tertuduh merupakan ibu empat anak yang mana dua anaknya masih belajar di sebuah sekolah antarabangsa di Kuantan manakala dua lagi berada di Vietnam.

Selain itu, tertuduh sebelum ini telah pun diberikan jaminan sebanyak RM100,000 di Mahkamah Kuantan atas pertuduhan rasuah membabitkan jumlah RM800,000,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM250,000 beserta dua penjamin warga tempatan dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada  mahkamah serta melaporkan diri ke balai polis sebulan sekali seperti yang ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen Kuantan sebelum ini.

Mahkamah menetapkan 20 Dis ini untuk sebutan semula kes.

Pada 10 Nov lalu, wanita tersebut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan, atas pertuduhan menawarkan wang tunai RM800,000 kepada seorang pegawai SPRM yang menyamar sebagai orang tengah untuk diserahkan kepada dua kapten APMM. — Bernama

Advertisement