Anda di sini

Peliwat dipenjara 18 tahun, 10 sebatan

Advertisement

KUCHING: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara 18 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah meliwat kanak-kanak lelaki berusia empat tahun.

Zainal Bujang, hadir di hadapan Hakim Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad yang memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu sejak tarikh perintah remannya pada 18 November tahun lepas.

Dia membuat pengakuan bersalah meliwat mangsa pada 5 November 2015 pada jam 6 petang.

Semasa mitigasi, dia hanya memberitahu mahkamah bahawa dia belum berkahwin dan meminta hukuman ringan.

Timbalan Pendakwa Raya Haresh Prakash menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman berat bukan hanya sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai, tetapi juga untuk menghantar mesej kuat dan memberi amaran bahawa kesalahan seksual terhadap kanak-kanak dilihat serius oleh mahkamah.

Kesalahan itu adalah serius dan mangsa hanya berusia empat tahun. Mangsa juga mengalami trauma serius selepas insiden itu,” katanya sambil menekankan semula bahawa hukuman keras patut dikenakan ke atas penjenayah kerana melakukan kesalahan keji tersebut.

Beliau berkata mangsa begitu trauma sehingga tidak dapat bercakap kepada pegawai polis semasa siasatan.

Tertuduh, 47, yang tidak diwakili peguam, didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Terdahulu, dia mengaku bersalah atas tuduhan yang sama dan dijatuhi hukuman penjara 17 tahun dan 10 sebatan rotan.

Kes itu dibawa ke Mahkamah Tinggi Kuching untuk rayuan dan kes diarahkan untuk menjalani perbicaraan semula.

Dia turut diarahkan untuk menjalani pemerhatian psikiatri selepas mendakwa diri tidak stabil secara mental dengan mengeluarkan laporan rekod mentalnya yang dibuat bertahun-tahun lalu.

Tertuduh akhirnya disahkan sesuai untuk menjalani prosiding kes sebelum pengakuan bersalah diambil semalam.

Advertisement