Anda di sini

Lelaki didakwa kerana terlibat kegiatan penyalahgunaan dadah

Advertisement

MIRI: Seorang lelaki didenda RM2,800 atau empat bulan penjara oleh Mahkamah Majistret kerana kesalahan terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani pengawasan pihak polis selama tempoh dua tahun.

Hukuman itu dijatuh Majistret Zuraini Ali Musa setelah meneliti beberapa faktor termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.

Abang Zulfiqrie Akbar, 23, dari Kampung Tabuan, Kuching telah didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama.

Sabit kesalahan, boleh didenda RM5,000 atau penjara dua tahun dan serta merta dikehendaki menjalani pengawasan selama tempoh tidak kurang daripada dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun mengikut Seksyen 38B ADB 1952.

Menurut keterangan kes, tertuduh didapati telah menggunakan dadah berbahaya jenis 11-nor-delta-9-tetrahydro-cannabinol-9-carboxylic acid (THC) yang terkandung di dalam Jadual Pertama ADB 1952 (Akta 234), dengan cara memasukkan dadah tersebut ke dalam tubuh  tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 4.20 pagi, 24 Julai tahun ini di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Miri.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor.

Advertisement