Anda di sini

UNIMAS, Resonics bekerjasama bangun Bandar Pintar, Revolusi Industri 4.0

Advertisement
 Najib ditemani Awang Tengah dan Musa menyaksikan pertukaran MoU antara UNIMAS dan Resonics Consultancy.
SAKSI: Najib ditemani Awang Tengah dan Musa menyaksikan pertukaran MoU antara UNIMAS dan Resonics Consultancy.

KUCHING: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Resonics Consultancy untuk kerjasama dalam membangunkan Bandar Pintar dan Revolusi Industri 4.0.

Majlis pertukaran dokumen MoU itu disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sempena Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) Ke-13 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di sini semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Pengerusi Yayasan WIEF Tun Musa Hitam.

Inisiatif kerjasama Bandar Pintar dan Revolusi Industri 4.0 adalah usaha berterusan antara industri dan universiti di Sarawak selari dengan aspirasi kerajaan dalam transformasi ekonomi digital.

Transformasi ekonomi digital itu bertujuan mempercepatkan pelan pembangunan terutama melalui penggunaan aplikasi teknologi selain memperkukuhkan jaringan perkhidmatan jalur lebar di Sarawak amnya.

UNIMAS akan terus berusaha meningkatkan penglibatan industri, masyarakat dan terutama rakyat Sarawak untuk kajian dan pembangunan dalam Bandar Pintar dan Industri 4.0 ini.

Terutamanya melalui kemudahan dan infrastruktur ICT yang akan dibangunkan di Sarawak,” kata Naib Canselor UNIMAS Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi menerusi kenyataan akhbar di sini semalam.

Malah, beliau memeritahu bahawa UNIMAS telah mengenal pasti beberapa kluster dalam inisiatif program transformasi ekonomi digital untuk kerjasama universiti dan industri.

Termasuk kajian dalam pembangunan di dalam Pertanian Pintar, Perkilangan Pintar dan Komuniti Pintar khusus untuk Sarawak,” tambahnya.

Resonics Consultancy juga memandatangani dua MoU dengan FinTech4Good LLC dan Umadx Online (Malaysia) Sdn Bhd.

Matlamat Resonics adalah untuk menjadikan Sarawak khususnya Kuching sebagai hab pembangunan teknologi dan keusahawanan di negara ini.

Selain Resonics Consultancy, UNIMAS turut menandatangani MoU bersama Koperasi Pro Belia Inovatif Sarawak Berhad (KOBIS) bagi mengukuhkan kerjasama antara kedua-dua pihak dalam mewujudkan program yang memberi manfaat secara bersama.

Majlis pertukaran MoU itu disempurnakan Pengerusi KOBIS Zaiwin Kassim mewakili KOBIS manakala UNIMAS diwakili Kadim.

Advertisement