Anda di sini

Tiga termasuk anggota tentera didakwa berhimpun untuk lakukan kekerasan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki termasuk seorang anggota tentera didakwa di Mahkamah Majistret Ampang di sini semalam atas pertuduhan berhimpun untuk mendatangkan cedera dan melakukan keganasan atau kekerasan, di hadapan sebuah pondok pengawal keselamatan, dua minggu lalu.

 Megat Aminul Azlan Megat Azizan, 30, seorang anggota tentera; Ahmad Sahir Abdul Malik, 33, pengawal keselamatan; dan Nurul Fitri M Darwis, 32, penganggur, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Majistret Haslinda A Raof.

 Ketiga-tiga tertuduh didakwa bersama-sama lapan orang lagi yang masih bebas.

 Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di hadapan pondok pengawal Flat Berembang, Ampang Jaya, di sini antara jam 12.05 tengah malam dan 12.15 tengah malam, 8 Nov lepas mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

 Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abdul Razak tidak menawarkan sebarang wang jaminan dengan alasan kesalahan yang dilakukan tidak boleh dijamin.

 Megat Aminul Azlan, Ahmad Sahir dan Nurul Fitri yang tidak diwakili peguam memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan mereka perlu menyara keluarga. — Bernama

Advertisement