Anda di sini

Saman fitnah terhadap Shila gagal

Advertisement
Shila Amzah
Shila Amzah

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin menolak saman fitnah oleh dua wartawan hiburan terhadap penyanyi Shila Amzah dan bapanya, ND Lala berhubung satu kenyataan pada sidang media, tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd Firuz Jaffril menolak saman yang difailkan oleh Maliah Surip, 36, daripada akhbar Kosmo! dan Mohd Ifqdar Abdul Rahman, 35, daripada akhbar Utusan Malaysia dan memerintahkan mereka membayar kos berjumlah RM30,000 kepada Shila dan bapanya.

Mohd Firuz berkata kenyataan kedua-dua defendan (Shila dan ND Lala) pada sidang media itu tidak menfitnah kedua-dua plaintif (Maliah dan Mohd Ifqdar) dan kenyataan itu adalah bagi menjelaskan isu pada masa tersebut.

Katanya, kenyataan kedua-dua defendan pada sidang media itu  juga tidak berniat jahat dan merupakan komen yang berpatutan.

Beliau berkata wartawan dan selebriti memerlukan antara satu sama lain bagi menaikkan kerjaya selebriti itu dan meningkatkan jualan akhbar bagi syarikat media.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan lima saksi plaintif dan tiga saksi defendan pada perbicaraan kes saman itu.

Peguam Ellia Zuraini Mat Zin dan Umi Farhanah Mohd Nasir mewakili kedua-dua wartawan itu manakala Shila Amzah atau nama sebenarnya Nurshahila dan bapanya, ND Lala atau nama sebenarnya Amir Hamzah Salleh diwakili peguam Mahendra Kumar.

Maliah dan Mohd Ifqdar menfailkan saman itu pada 17 Disember 2015 itu selepas Shila dan bapanya mengadakan sidang media di Mega Music World, Cheras pada 24 September 2014 untuk menjawab persoalan  wartawan hiburan berhubung tindakan penyanyi itu memuat naik sekeping gambar di Instagram miliknya.

Pada 15 September 2014, sekeping gambar dengan kapsyen mempersoalkan media Melayu yang dikatakan lebih berminat menulis gosip berbanding pencapaian artis Melayu sebelum gambar itu dimuat naik penyanyi wanita tersebut.

Plaintif mendakwa  kenyataan-kenyataan pihak defendan menyentuh kewibawaan plaintif sebagai wartawan, oleh itu mereka menuntut ganti rugi, kos dan lain-lain relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Pada 31 Mac lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman Shila terhadap Maliah dan dua pihak lain berhubung penerbitan artikel berbaur fitnah yang disiarkan dalam akhbar Kosmo! pada 17 September 2014 dan memerintahkan Shila membayar kos sebanyak RM20,000 kepada ketiga-tiga defendan. — Bernama

Advertisement