Anda di sini

Penipu dipenjara 41 bulan, enam sebatan

Advertisement
 Tertuduh didapati bersalah atas tuduhan menipu.
BERSALAH: Tertuduh didapati bersalah atas tuduhan menipu.

SIBU: Mahkamah Majistret Sibu semalam menjatuhkan hukuman penjara 41 bulan serta enam sebatan terhadap seorang lelaki yang mengaku bersalah atas lima pertuduhan menipu.

Majistret Saiful Sayoti menjatuhkan hukuman penjara antara 12 bulan dan 41 bulan terhadap tertuduh, Annuar Hamdi, 36.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, menjalani semua hukuman penjara itu bermula semalam.

Seksyen 420 memperuntukkan hukuman penjara antara satu tahun hingga 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Annuar didakwa memperdaya mangsa-mangsa berusia antara 18 hingga 37 tahun menyerahkan sejumlah wang dengan menjanjikan mereka peluang pekerjaan di Pulau Labuan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 23 Februari lalu dan 6 April lalu di beberapa lokasi di Sibu dan Sibu Jaya melibatkan kerugian berjumlah RM4,500.

Pada Khamis lalu, tertuduh turut dijatuhi hukuman 12 bulan penjara dan satu sebatan atas satu lagi pertuduhan menipu.

Bagi pertuduhan itu, Annuar didakwa memperdaya mangsa berusia 50 tahun menyerahkan wang sejumlah RM700 untuk mendapatkan pekerjaan di Pulau Labuan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 23 Februari tahun ini, kira-kira jam 9.20 pagi di Sibu Jaya.

Annuar yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman ringan dan memohon agar hukuman penjara itu berjalan serentak.

Advertisement