Anda di sini

Membiarkan nyamuk aedes membiak, syarikat pembinaan didenda

Advertisement

KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat pembinaan didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam kerana membiarkan nyamuk aedes membiak di sebuah tapak pembinaan.

 Majistret Zuhair Rosli menjatuhkan hukuman denda itu ke atas Syarikat Tajukon Sdn Bhd selepas wakil syarikat itu iaitu pegawai keselamatan dan kesihatan pekerja, K.

 Gunalan mengaku bersalah atas pertuduhan membiarkan pembiakan serangga pembawa penyakit iaitu larva nyamuk aedes Albopictus di dalam bekas plastik makanan.

 Syarikat itu yang membayar denda berkenaan, didakwa melakukan kesalahan itu di tapak pembinaan Tajukon Sdn Bhd, Lot PT 9502, Dato Keramat di sini pada jam 10 pagi, 28 Feb lepas.

 Pendakwaan mengikut Seksyen 13(1) dan dibaca bersama Seksyen 13(2) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 23(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

 Pegawai Pendakwa Pejabat Kesihatan Titiwangsa, Shumizan Siron memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran, bagaimanapun syarikat itu yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana ini kesalahan pertama syarikat itu. — Bernama

Advertisement