Anda di sini

Kanak-kanak 11 tahun positif ujian urin diselamatkan

Advertisement

Punca utama terjebak dadah dipercayai akibat pengaruh ibu bapa

 Asri (dua kanan) bersama pegawainya menunjukkan dadah jenis pil WY (pil kuda) dan syabu yang dirampas ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah dekat Alor Setar, semalam. — Gambar Bernama
HASIL RAMPASAN: Asri (dua kanan) bersama pegawainya menunjukkan dadah jenis pil WY (pil kuda) dan syabu yang dirampas ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah dekat Alor Setar, semalam. — Gambar Bernama

ALOR SETAR: Pasukan polis bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki 11 tahun dalam operasi di sebuah rumah di Kota Sarang Semut, dekat sini jam 11 pagi kelmarin.

Ketua Polis Kedah Datuk Asri Yusoff berkata operasi bersama AADK, JKM dan Klinik Kesihatan Kota Sarang Semut menyelamat kanak-kanak ini dilaksanakan mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

Hasil pemeriksaan ujian saringan urin terhadap kanak-kanak ini juga mendapati dia  positif dadah.

Ibu bapa kanak-kanak tersebut adalah penagih dadah bawah pengawasan AADK. Punca utama kanak-kanak ini terlibat dipercayai akibat pengaruh ibu bapa. Kanak-kanak ini juga didapati telah hilang minat untuk belajar dan kerap ponteng sekolah,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Turut serta pada sidang media itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah Supt Helmi Aris.

Sementara itu, Helmi berkata kanak-kanak lelaki itu telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini untuk pemeriksaan lanjut.

Dalam pada itu, polis Kedah merampas sejumlah 2715.69 gram dadah bernilai  RM207,062.70 melalui penahanan sebuah kereta jenis Toyota Camry  bersama empat lelaki di hadapan sebuah rumah di Taman Sultan Abdul Halim di sini petang kelmarin.

Asri berkata, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu menahan lelaki berumur antara 29 dan 45 tahun itu pada jam 5 petang, dan hasil pemeriksaan badan polis menjumpai satu kunci kenderaan jenis Honda terletak dalam beg silang suspek.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut polis pada ruang simpanan barang kenderaan Honda yang turut berada di hadapan rumah tersebut telah menemukan satu peket plastik lut sinar mengandungi dadah disyaki heroin seberat 461.75 gram.

Hasil soal siasat (terhadap) seorang suspek kemudiannya membawa pasukan polis ke sebuah rumah di Taman Gunung Perak, Alor Setar dan pemeriksaan pihak polis telah  menemukan 80 paket plastik warna biru yang mengandungi pil WY (pil kuda) sebanyak 16,000 biji (seberat 1746.53 gram) dan lima peket syabu dengan anggaran berat 507.41 gram,” katanya.

Asri berkata polis turut merampas wang tunai RM1,240 serta hasil ujian saringan urin terhadap empat lelaki itu mendapati mereka positif dadah dengan tiga daripadanya mempunyai rekod kesalahan lampau jenayah dan dadah.

Beliau berkata, kesemua suspek dipercayai aktif dengan kegiatan pengedaran dadah sejak tahun lepas lagi dan mereka kini direman tujuh hari mulai semalam dengan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung, jika disabitkan kesalahan. — Bernama

Advertisement