Anda di sini

Anak Sarawak selamat daripada tali gantung

Advertisement

PUTRAJAYA: Seorang anak Sarawak yang dijatuhi hukuman mati kerana membunuh, terselamat daripada tali gantung semalam apabila Mahkamah Persekutuan menjatuhi hukuman penjara 20 tahun bagi pertuduhan yang diringankan kepada mengakibatkan kematian.

Panel lima hakim dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum memerintahkan Paul Lagang Malit supaya menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap pada 16 Ogos 2013.

Ketika mengetepikan sabitan kes bunuh dan hukuman mati, Hakim Malanjum berkata sabitan ke atas Paul kerana membunuh adalah tidak kukuh berikutan cara perbicaraan dikendalikan oleh hakim perbicaraan.

Beliau berkata melihat kepada keseluruhan keterangan yang dikemukakan dan demi keadilan, mahkamah menggantikan pertuduhan terhadap Paul kepada Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan.

Tiga hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Zainun Ali, Tan Sri Azahar Mohamed, Tan Sri Zaharah Ibrahim dan Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha turut bersidang dalam panel itu.

Dalam prosiding itu, Hakim Tan berkata hakim perbicaraan turut bertanya soalan kepada saksi pendakwaan ketika pemeriksaan utama perbicaraan itu.

Paul, 30, seorang kontraktor, didakwa mengakibatkan kematian Morris Asang Yahya, 22, yang mempunyai pertalian dengannya, di Taman Perindustrian Puchong Utama, Bukit Puchong, Selangor pada 13 Ogos 2013.

Pada mulanya dia didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi kerana membunuh dan dijatuhi hukuman mati. Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi, menyebabkan dia mengemukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Peguam Gobind Singh Deo mewakili Paul berhujah bahawa dapatan hakim perbicaraan bagi kes pembunuhan itu yang bergantung kepada keterangan saksi Robin Bapi adalah tidak kukuh.

Beliau berkata keterangan penting saksi yang memberi keterangan berhubung insiden itu tidak dapat difahami.

Katanya meskipun terdapat pengawasan oleh hakim perbicaraan, tiada jurubahasa mahkamah untuk membantu saksi yang merupakan penutur jati bahasa Kenyah.

Beliau berhujah hak anak guamnya untuk mendapatkan perbicaraan yang adil telah dilanggari.

Timbalan Pendakwa Raya K. Mangai memohon mahkamah supaya menjatuhi hukuman penjara antara 20 dan 25 tahun terhadap Paul. — Bernama

Advertisement