Anda di sini

RM71.9 juta bagi pengurusan dan rmrm219.1 juta pembangunan esscom sejak 2013

Advertisement

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman berkata sebanyak RM71.9 juta bagi belanja pengurusan dan RM219.1 juta bagi perbelanjaan pembangunan diperuntukkan kepada Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) sejak penubuhannya pada 1 April 2013.

Musa berkata, pada awal penubuhan ESSCom, agensi itu mendapat RM3.5 juta untuk tujuan pengurusan dan RM2.4 juta melalui peruntukan darurat manakala masing-masing RM7.5 juta untuk pengurusan dan pembangunan pada tahun 2014.

Menjawap soalan Datuk Abd Muis Picho (BN-Sebatik), Datuk Samsudin Yahya (BN-Sekong) dan Datuk Limus Jury (BN-Kuala Penyu), Musa berkata pada tahun 2015 kerajaan persekutuan memperuntukkan RM17 juta dan RM61 juta masing-masing untuk pengurusan dan pembangunan kepada ESSCom.

Pada tahun 2016 pula kata Musa, peruntukan pengurusan dan pembangunan yang disalurkan kerajaan Persekutuan kepada ESSCom ialah masing-masing RM21.4 juta dan RM104.2 juta manakala pada tahun ini (2017) pula ialah masing-masing RM22.5 juta (pengurusan) dan RM44 juta (pembangunan).

Sementara itu, Musa berkata beberapa tindakan agresif dan pendekatan telah dilaksanakan Angkatan Tentera Malaysia di bawah Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2) dalam menangani jenayah rentas sempadan termasuk di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Antaranya kata Musa ialah penambahan aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) daripada tiga kapal kepada enam kapal yang beroperasi di kawasan Op Pasir dan mengoptimumkan pengoperasian tiga ‘Sea Basing’ iaitu Bunga Mas 5 (BM 5) di perairan Kudat, Kapal Auksilari Tun Azizan (KA TAZ) di perairan Pulau Taganak, Pelantar Laut Tun Sharifah Rodziah (PLTSR) di perairan Beting Bodgaya dan sekitar perairan Pulau Bohey Dulang.

Markas ini mengoperasikan sebanyak 13 radar di sepanjang perairan Kudat sehingga ke perairan Pulau Danawan. Fokus kamera ditujukan ke arah sempadan Malaysia-Filipina yang setiap radar dilengkapi dengan sistem ‘Observe Camera’,” katanya.

Menurutnya sistem kamera berkenaan dinaik taraf pada Mei lalu secara berperingkat bagi memberi imej lebih jelas bagi bot atau kapal yang melintasi sempadan negara.

Musa berkata selain meletakkan anggota tentera darat di pulau-pulau yang berada dalam kawsan operasi, MK ATB 2 juga menempatkan anggota ‘Quick Reaction Force’ (QRF) berserta bot tempur di lokasi-lokasi strategik bagi memintas, memeriksa dan menahan sebarang bot yang mencurigakan yang masuk- keluar melalui sempadan Malaysia-Filipina dan Malaysia-Indonesia. — Bernama

Advertisement