Anda di sini

Putus cinta, pegawai polis bunuh diri selepas membunuh

Advertisement
 Pegawai polis berkawal di luar rumah keluarga bekas teman wanita suspek di Sarcelles, kelmarin. — Gambar AFP
TRAGIK: Pegawai polis berkawal di luar rumah keluarga bekas teman wanita suspek di Sarcelles, kelmarin. — Gambar AFP

SARCELLES: Seorang anggota polis menembak mati tiga orang sebelum mengacukan senjata itu ke arah dirinya sendiri, dalam rentetan pembunuhan yang berpunca daripada pergaduhan dengan teman wanitanya, menurut pihak berkuasa kelmarin, ketika Perancis dibelenggu peningkatan kes bunuh diri anggota polis tahun ini.

Anggota polis Paris, Arnaud Martin, 31, menamatkan syifnya pada petang Sabtu dan menemui teman wanitanya di Sarcelles, subbandar utara bandar raya, untuk berbincang mengenai hubungan mereka yang sudah berakhir.

Namun selepas pergaduhan tercetus, Martin menembak wanita muda itu di bahagian muka dan membunuh dua lelaki berusia 30 dan 44 tahun, yang berdasarkan laporan pertama, cuba campur tangan, menurut Eric Corbaux, pendakwa raya daerah Pontoise.

Dia kemudian pergi ke rumah teman wanitanya itu yang hanya beberapa ela jauhnya, di mana dia menembak mati ayah gadis itu dan menyebabkan si ibu cedera parah di leher.

Dia turut menembak kaki adik perempuan teman wanitanya dan membunuh anjing keluarga tersebut.

Penyerang kemudian ditemui mati akibat satu tembakan di kepalanya, dengan senjatanya di dalam genggaman, di laman belakang rumah itu, kata Corbaux.

Gadis terbabit kini tenat di hospital kelmarin.

Menurut pegawai atasannya, suspek kakitangan awam yang baik dan bekas polis tentera yang amat serius,” menurut Corbaux.

Pasukan polis Perancis berdepan peningkatan mendadak kes bunuh diri anggotanya, dengan lebih 45 anggota dan 16 kakitangan bawahan membunuh diri tahun ini sahaja.

Menteri Dalam Negeri Gerard Collomb memberitahu radio France Inter bahawa penyerang hilang sabar, bersenjata dan menembak, namun beliau enggan menghalang anggotanya membawa senjata mereka ketika tidak bertugas, amalan yang diperkenalk selepas serangan pengganas pada November 2015 di Paris.

Menurut Collomb, kebanyakan kes bunuh diri itu berpunca daripada kejadian dalam kehidupan peribadi mereka. — AFP

Advertisement