Anda di sini

Projek awam lebih RM100 juta wajib guna sistem BIM mulai 2019

Advertisement
 Fadillah melancarkan Pusat Pemodelan Maklumat Pembinaan  semalam. — Gambar Bernama
PELANCARAN: Fadillah melancarkan Pusat Pemodelan Maklumat Pembinaan semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Semua projek-projek awam yang bernilai RM100 juta dan ke atas diwajibkan menggunakan sistem Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) mulai 2019, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata penggunaan BIM akan meningkatkan kecekapan, produktiviti dan kualiti keseluruhan proses pembinaan di samping mengurangkan kos pembinaan dan mengelakkan masalah reka bentuk dalam fasa perancangan.

BIM membolehkan semua pihak yang terlibat dalam projek itu untuk menvisualisasikan, mengkoordinasikan dan menganalisis ciri-ciri fizikal dan fungsi utama setiap elemen sebelum pembinaan bermula.

Ia juga berupaya membantu pihak pemaju mencapai sasaran menyiapkan bangunan dalam kualiti yang ditetapkan dan mengelak daripada berlaku perubahan kontrak,” katanya ketika berucap merasmikan myBIM Centre di sini, semalam.

Fadillah berkata kerajaan sedang mempertimbang untuk menggunakan BIM bagi membina empat hospital awam yang memerlukan perancangan terperinci dan kos yang tinggi.

Pembinaan hospital tidak seperti bangunan-bangunan lain. Ia memerlukan koordinasi di antara pemasangan peralatan perubatan dan keselamatan terperinci yang mana penggunaan BIM amat diperlukan untuk menepati ciri-ciri bangunan hospital.

Antara kejayaan penggunaan BIM dalam projek kerajaan ialah pembinaan Institut Kanser Negara, Putrajaya yang diseliakan oleh Jabatan Kerja Raya dan disiapkan dalam masa dan dengan kos yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Fadillah berkata myBIM Centre akan bertindak sebagai pusat rujukan untuk penggunaan sistem BIM termasuk menjadi pusat latihan untuk pemaju, kontraktor, perunding dan pembekal BIM.

myBIM Centre juga akan memberikan penggiat industri akses kepada perisian dan perkakasan BIM berdasarkan prinsip ‘pay-per-use’ pada harga yang berpatutan.

Beliau berkata Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) melaburkan hampir RM3 juta untuk penubuhan myBIM Centre termasuk kos perkakasan dan perisian BIM yang bertujuan memberi lebih banyak pendedahan kepada penggiat-pengguiat industri menggunakan perkhidmatan itu.

Ketua Eksekutif CIDB Datuk Ahmad Asri Abdul Hamid berkata pihaknya telah melatih seramai 1,300 penggiat industri menggunakan BIM sejak 2016 hingga kini.

Kami turut memperuntuk RM1 juta pada 2018 untuk syarikat-syarikat pembinaan dan kontraktor membeli perisian BIM bagi melatih lebih ramai penggiat industri,” katanya. — Bernama

Advertisement