Anda di sini

PPBM, DAP punca Pakatan Harapan lewat didaftar

Advertisement

PPBM melakukan tiga kesalahan, manakala DAP menghadapi masalah berkaitan pemilihan semula CEC

 Tun Dr Mahathir menjawab pertanyaan pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Alwi Ibrahim bagi mendapatkan penjelasan mengenai status permohonan pendaftaran Pakatan Harapan di KDN semalam. — Gambar Bernama
SIDANG MEDIA: Tun Dr Mahathir menjawab pertanyaan pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Alwi Ibrahim bagi mendapatkan penjelasan mengenai status permohonan pendaftaran Pakatan Harapan di KDN semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad semalam bertemu Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Alwi Ibrahim di sini bagi mendapatkan penjelasan mengenai status permohonan pendaftaran Pakatan Harapan.

Dr Mahathir, yang ditemani oleh Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Pakatan Harapan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata, masalah yang melanda PPBM dan DAP merupakan punca utama proses pendaftaran Pakatan Harapan mengalami kelewatan.

Semasa ditemui pemberita selepas pertemuan itu, beliau berkata perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh pegawai di KDN dalam pertemuan yang diadakan selama kira-kira 20 minit itu.

Kalau masalah ini diberitahu awal, boleh kami selesaikan. Kami tidak ada niat untuk membantah atau menimbulkan masalah kepada kerajaan. Apa juga kehendak dan syarat-syarat yang tidak melanggar dengan undang-undang akan kami patuhi.

Kami mahu parti campuran (Pakatan Harapan) ini didaftar secepat mungkin kerana sekiranya kelulusan pertubuhan lambat diberikan, ia dijangka akan memberi kesan kepada Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti. Kami harap pihak kementerian boleh memberitahu kami apakah masalah yang menyebabkan PH lambat didaftar,” kata beliau.

Pada 2 Nov lepas, Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) telah memaklumkan bahawa permohonan pendaftaran Pakatan Harapan yang dibuat pada 24 Julai lepas masih dalam pertimbangan.

Baru-baru ini, RoS memberi amaran kepada PPBM kerana melakukan tiga kesalahan iaitu tidak mengadakan mesyuarat agung tahunan, menubuhkan sayap pemuda dikenali sebagai Armada dan menangguhkan mesyuarat agung tanpa peruntukan dalam perlembagaan parti sehingga boleh menyebabkan parti itu dibatalkan.

DAP pula menghadapi masalah berkaitan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) sebelum ini yang tidak sah sehingga memaksa parti itu mengadakan semula pemilihan CEC baharu minggu lepas.

Sementara itu, Pengerusi DAP Kebangsaan Tan Kok Wai berkata laporan audit Kongres Khas DAP yang diadakan minggu lepas akan diselesaikan minggu ini dan dikemukakan kepada RoS agar laporan itu tidak melengahkan proses meluluskan pendaftaran Pakatan Harapan. Bernama

Advertisement