Anda di sini

Pembantu kedai ditahan miliki 27 peket plastik berisi syabu

Advertisement
 Suspek ditahan miliki 27 peket dadah jenis syabu.
DITAHAN: Suspek ditahan miliki 27 peket dadah jenis syabu.

KUCHING: Polis menahan seorang lelaki disyaki pengedar dadah selepas didapati memiliki 27 peket plastik berisi ketulan kristal dipercayai syabu, semalam.

Suspek berusia 25 tahun ditangkap di sebuah rumah di Batu 17, Sibu ran dekat Jalan Kuching-Serian jam 9 malam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak Superintenden Sahar Abdul Latif berkata tangkapan itu dibuat oleh sepasukan polis JSJN Sarawak.

Hasil pemeriksaan lanjut, katanya polis menemui 27 peket plastik lutsinar masing-masing berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah syabu seberat 18.12 gram dengan lebih RM7,500 nilai pasaran.

"Kami menjumpai satu beg plastik mengandungi 14 peket plastik lutsinar masing-masing berisi ketulan ketulan kristal disyaki dadah syabu, berat kasar 8.92 gram di atas kabinet kayu tepi tangga.

"Satu lagi plastik lutsinar mengandungi 13 peket plastik lutsinar masing-masing berisi ketulan kristal disyaki dadah syabu dengan berat kasar 9.20 gram di laci bawah ‘dash board’ bahagian penumpang hadapan dalam sebuah  kereta," katanya.

Siasatan awal mendapati rumah tersebut merupakan milik suspek.

Sahar berkata suspek turut mengaku dadah yang dirampas adalah kepunyaannya.

"Dia (suspek) mengaku dadah itu miliknya yang dibeli dengan memasukkan wang ke dalam bank," katanya.

Bagaimanapun suspek didapati negatif ujian saringan air kencing.

Menurut Sahar, suspek ditahan di lokap Balai Polis Siburan dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39A1 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Advertisement