Anda di sini

MPS papar corak perbelanjaan dan pendapatan diedarkan

Advertisement

PUTRAJAYA: Jabatan Perangkaan semalam melancarkan Matriks Perakaunan Sosial (MPS) yang diterbitkan julung kalinya secara edaran umum yang membekalkan input penting untuk agihan pendapatan dan perbelanjaan dalam analisis fiskal.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata MPS merupakan data komprehensif bagi satu tahun tertentu yang mengintegrasikan statistik ekonomi dan sosial serta menggambarkan hubungan antara institusi di Malaysia iaitu isi rumah, perbadanan kewangan dan bukan kewangan serta negara lain di dunia.

MPS pada peringkat makro memberi gambaran mengenali aliran ekonomi Malaysia dalam satu tahun, manakala di peringkat mikro, ia memberi tumpuan kepada agihan pendapatan bagi isi rumah, terutamanya pampasan pekerja mengikut strata, kategori pendapatan, etnik dan jantina,” katanya kepada media di sini semalam.

MPS merupakan salah satu produk statistik yang lazimnya digunakan oleh penggubal dasar dan penyelidik untuk mengukur faktor keberkesanan pelaksanaan dasar yang mempengaruhi ekonomi negara termasuk aliran sumber pendapatan dan corak perbelanjaan bagi institusi.

MPS telah dibangunkan oleh Jabatan Perangkaan bermula 2009 bagi tujuan penyusunan dalaman dan akan dikemaskini secara berterusan menggunakan asas daripada struktur ekonomi terkini termasuk penemuan statistik daripada banci ekonomi dan isi rumah,”katanya sambil menambah laporan statistik itu akan dihasilkan sebanyak dua kali dalam tempoh lima tahun.

Pada 2014, statistik MPS menunjukkan jumlah pendapatan isi rumah adalah RM638.8 bilion dengan pampasan pekerja ( atau disebut gaji) dan keuntungan perniagaan yang tidak diperbadankan merupakan penyumbang utama dengan sumbangan 72.3 peratus.

Daripada jumlah pampasan pekerja RM365.3 bilion bagi warganegara, sebahagian besarnya disumbangkan oleh isi rumah di kawasan bandar sebanyak 81 peratus manakala selebihnya adalah dari isi rumah di kawasan luar bandar,” katanya.

Tambahnya bagi agihan mengikut julat pendapatan bersih, pampasan pekerja bagi kategori pendapatan tertinggi, pertengahan dan rendah adalah masing-masing RM92.5 bilion, RM155.0 bilion dan RM117.8 bilion.

Bagi agihan mengikut jantina pula, lelaki merekodkan pampasan pekerja yang lebih tinggi dengan 65.1 peratus berbanding wanita 34.9 peratus dengan lelaki kekal sebagai pekerja dominan dalam sektor pertanian, pembinaan. perlombongan, penggalian dan pembuatan,” katanya.

Manakala dakan sektor perkhidmatan, kaum wanita mempunyai peratusan yang hampir sama dengan lelaki tetapi mempunyai peratusan yang lebih tinggi dalam sektor pendidikan dan kesihatan,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai MPS, orang ramai boleh melayari www.dosm.gov.my. — Bernama

Advertisement