Anda di sini

Malaysia mahu tingkatkan penanda aras pensijilan MSPO

Advertisement

Kerjasama dengan pakar Eropah untuk pastikan ia diiktiraf, diterima

KUALA LUMPUR: Malaysia akan bekerjasama dengan pakar Eropah untuk meningkatkan penanda aras bagi pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) untuk memastikan ia diiktiraf dan diterima sebagai sistem pensijilan di Eropah.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong berkata kerajaan Malaysia komited untuk memastikan penyertaan semua pihak berkepentingan dalam mandat pensijilan MSPO, termasuk menyediakan bantuan kewangan penuh kepada lebih 650,000 pekebun kecil bebas.

Pekebun kecil bebas menguasai 40 peratus kawasan penanaman kelapa sawit negara.

Sebagai mata dan telinga negara-negara mereka di Malaysia, duta-duta negara Kesatuan Eropah (EU) diminta menyampaikan perspektif yang betul mengenai minyak sawit Malaysia kepada rakan-rakan EU mereka, terutamanya dengan menekankan pengeluaran minyak kelapa sawit lestari yang diperakui mandatori Malaysia pada akhir 2019,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Pada Jumaat lepas, Mah mengadakan sesi dialog khas dengan 18 duta besar Eropah yang diketuai oleh Duta EU dan Ketua Delegasi Diplomatik di Malaysia, Maria Castillo Fernandez.

Mesyuarat tertutup itu adalah susulan taklimat yang diadakan Mah kepada Duta Besar Eropah tiga bulan lepas, yang memberi tumpuan kepada Resolusi Parlimen EU untuk mengaitkan minyak sawit dan penebangan hutan.

Fernandez berkata resolusi EU kini sedang dilaksanakan melalui Pesuruhjaya Eropah dan Majlis Eropah sebelum dimulakan langkah-langkah perundangan.

Beliau menyifatkan keterbukaan yang ditunjukkan oleh kerajaan Malaysia sebagai sangat relevan dan tidak ternilai kerana pegawai-pegawai EU berada di fasa perundingan dengan pihak berkepentingan yang berbeza dari negara-negara pengeluar minyak sawit.

Mah turut menegaskan bahawa isu semasa minyak sawit telah menarik perhatian serius peringkat tertinggi negara pengeluar minyak sawit, termasuk Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Indonesia Joko Widodo.

Berhubung dengan cadangan baru-baru ini oleh Jawatankuasa Alam Sekitar Eropah untuk mengecualikan penggunaan minyak kelapa sawit daripada Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui (RED) seawal 2021, Mah menyifatkan cadangan itu sebagai diskriminasi, tidak boleh diterima dan tidak mematuhi prinsip-prinsip Pertubuhan Perdagangan Dunia memandangkan minyak dan lemak lain masih boleh digunakan untuk biofuel di bawah RED sehingga 2029.

Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2017, negara-negara EU kekal sebagai destinasi eksport utama minyak kelapa sawit dan produk berasaskan sawit Malaysia yang bernilai secara kolektif sebanyak RM7.5 bilion, berbanding dengan RM6.3 bilion pada tempoh yang sama pada 2016. — Bernama

Advertisement