Anda di sini

Jangan jadi mangsa ‘penyalahgunaan maklumat’

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pengguna Internet perlu lebih berhati-hati semasa berkongsi maklumat peribadi di Internet bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa ‘weaponizing information’ atau penyalahgunaan maklumat, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari.

Beliau berkata, walaupun kebocoran data peribadi turut boleh berlaku di mana-mana negara, namun ia dapat dibendung melalui kawalan kendiri.

Kita ada akta tertentu tetapi yang paling penting ialah aspek kawalan kendiri dan sebagai pengguna, kita jangan mudah berkongsi apa sahaja maklumat peribadi di laman sosial… jangan jadikan media sosial sebagai weaponizing information.

Sebagai pengguna atau data subjek, sekurang-kurangnya dua hingga tiga bulan sekali tukar kata laluan, jangan memaut mana-mana pautan  yang dirasakan tak sesuai kerana ia akan memberi kesan kepada kita,” katanya semasa menjawab soalan tambahan Datuk Raimei Unggi (BN-Tenom) pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat semalam.

Jailani berkata, kementerian itu turut melaksanakan pelbagai langkah dan bekerjasama dengan pelbagai agensi bagi memastikan gejala penularan kandungan dan berita palsu dapat dikekang.

Ini termasuk mewujudkan portal sebenarnya.my yang bertujuan menyalurkan berita dan maklumat benar kepada orang ramai, dan ia telah dilayari 12.75 juta pengguna sejak dilancarkan Mac lalu.

Terdahulu, semasa menjawab soalan asal Raime, Jailani berkata kajian pengguna internet 2017 menunjukkan bilangan pengguna internet di Malaysia meningkat daripada 24.1 juta pada tahun 2015 kepada 24.5 juta pada 2016. Katanya, 89.3 peratus daripada pengguna internet pada 2016 juga didapati menggunakan media sosial, meningkat sebanyak 9.3 peratus daripada 2015.

Jumlah pemilik akaun media sosial bagi Facebook meningkat daripada 18.6 peratus pada 2015 kepada 21.3 peratus pada 2016, instagram meningkat daripada 9 peratus pada 2015 kepada 12.3 peratus pada 2016, YouTube meningkat daripada 8.1 peratus pada 2015 kepada 9.9 peratus pada 2016,” katanya. — Bernama

Advertisement