Anda di sini

Cacat penglihatan tidak halang guru wanita curah jasa

Advertisement
 Mit mengacara majlis penutupan sambutan Hari Tongkat Putih Sibu 2017.
TIADA MASALAH: Mit mengacara majlis penutupan sambutan Hari Tongkat Putih Sibu 2017.

CACAT penglihatan tidak menghalang seorang guru wanita untuk mencurahkan jasanya mendidik pelajar agar menjadi generasi pelapis berjaya.

Sebaliknya, kekurangan pada Mit Serindin, 42, menjadikan beliau lebih bersemangat melaksanakan amanah dan tanggungjawab sebagai seorang guru mendidik pelajar senasib dengannya.

Mit yang berasal dari Rumah Rose Hulu Sungai Naman di Sibu mula mengajar pada 2004 di Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Ali Sibu, sebelum berpindah ke SK Pendidikan Khas, Jalan Matang Kuching pada 2015.

Meskipun buta sejak lahir, Mit tidak sedikit pun berasa sukar mengajar dalam kelas menggunakan tongkat.

Beliau yakin kesungguhan dan kecekalannya menjadi perangsang kepada murid-murid lebih gigih menimba ilmu agar dapat memajukan diri dan mengubah nasib keluarga mereka.

Menurut Mit, pendidikan awalnya bermula di SRK Jalan Ong Tiang Swee Kuching dari 1984 hingga 1989. Dari situ, beliau diperkenalkan dengan tulisan braile buat pertama kali.

Saya belajar tulisan braile dari satu titik ke satu titik, abjad ke abjad hingga ke ayat ke satu ayat bahasa Melayu, Inggeris dan Matematik.

Saya juga belajar banyak simbol braile yang harus diingat dan belajar hampir setiap hari,” katanya.

Dari SRK Ong Tiang Swee, Mit berpindah ke SK Pendidikan Khas, Jalan Tan Sri William Tan, Kuching dari 1989 hingga 1991.

Seterusnya, beliau melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Lintang hingga tingkatan enam sebelum menyambung pengajian ke maktab perguruan di Kuching.

Mit ditemui pemberita pada majlis penutupan sambutan Hari Tongkat Putih Sibu 2017 anjuran Pertubuhan SBM Sarawak di sini.

Di samping itu, beliau bersyukur dan gembira kerana di saat memerlukan bantuan, rakan-rakan guru dan murid-murid sering menghulurkan bantuan kepadanya.

Selama 13 tahun dalam bidang perguruan, Mit memberitahu mengajar murid-murid normal di SK Abang Ali Sibu sebagai guru Pendidikan Moral, Sivik dan Kewarganegaraan adalah cabaran besar baginya masa itu.

Ia memerlukannya melakukan tugasan seperti menyediakan lembaran kerja, soalan ujian, Bahan Bantu Mengajar (BBM) dan seumpamanya dalam bentuk tulisan bercetak.

Keadaan ini sedikit mencabar bagi saya kerana perlu menaip kembali apa harus disediakan dalam komputer riba.

Jadi, untuk mengatasi masalah itu saya terpaksa meminta bantuan ahli keluarga, rakan sekerja dan pembantu di sekolah menyunting atau membetulkan apa saya taip sebelum dicetak dan diagihkan kepada murid-murid,” katanya.

Berbanding di sekolah baharu (SK Pendidikan Khas Kuching), sedikit mudah baginya kerana beliau mengajar Orang Kelainan Upaya (OKU) dan bergantung kepada keperluan murid-murid itu.

Katanya, jika murid-murid itu cacat penglihatan memerlukan huruf braile, beliau menyediakan kertas kerja dalam bentuk tulisan braile.

Jika murid-murid OKU boleh melihat, masih boleh menulis dalam tulisan biasa, saya menaip dan sediakan mereka kerja sekolah dalam saiz tulisan besar untuk murid rabun,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihati pelajar senasib dengannya supaya sentiasa terus berusaha dan jangan mudah berputus asa menimba ilmu.

Beliau berkata, sudah banyak golongan kurang upaya mencapai kejayaan dan ada antara mereka menjadi peguam, pensyarah dan usahawan berjaya.

 Mit (duduk, kanan) merakam kenangan bersama Setiausaha Politik Ketua Menteri                      Romeo Christopher Tegong (duduk, empat kiri), Presiden Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) Nazari Othman dan yang lain pada Hari Tongkat Putih Sibu 2017, baru-baru ini.
KENANGAN: Mit (duduk, kanan) merakam kenangan bersama Setiausaha Politik Ketua Menteri Romeo Christopher Tegong (duduk, empat kiri), Presiden Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) Nazari Othman dan yang lain pada Hari Tongkat Putih Sibu 2017, baru-baru ini.
  • oleh
  • Advertisement