Anda di sini

AMANAH berjaya batal saman PAS kawasan Batu

Advertisement

KUALA LUMPUR: Empat anggota Parti Amanah Negara (AMANAH) semalam berjaya membatalkan saman difailkan Yang Dipertua PAS kawasan Batu, Azhar Yahya dan parti itu berhubung tuntutan supaya milikan hartanah dikembalikan kepada PAS kawasan berkenaan.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim membenarkan permohonan defendan  – Rosden Mohd Yassin, M.Sugaimi A.Rahaman, Ismail Yahaya dan Jamhor Nawawi – di dalam kamar dengan dihadiri peguam defendan, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzami dan Wan Rohimi Wan Daud bagi pihak Azhar dan PAS kawasan Batu.

Ahmad Zamri, ketika ditemui pemberita, berkata mahkamah membenarkan permohonan anak guamnya atas alasan Azhar dan PAS kawasan Batu, selaku plaintif kedua dan ketiga, tidak mempunyai ‘locus standi’ (hak di sisi undang-undang) untuk memfailkan tindakan saman terhadap kesemua defendan.

Mahkamah memutuskan tuntutan saman itu lebih kepada plaintif pertama (Md Mansor Ali) iaitu individu yang memiliki hartanah tersebut,” katanya yang turut memaklumkan saman yang difailkan Md Mansor terhadap kesemua defendan masih diteruskan.

Peguam itu berkata mahkamah turut memerintahkan kedua-dua plaintif membayar kos berjumlah RM3,000 kepada kesemua defendan dan menetapkan 24 Jan depan untuk pengurusan kes.

Dalam saman yang difailkan pada 20 Julai lepas, ketiga-tiga plaintif berkenaan menuntut perintah mahkamah supaya defendan menyerahkan hartanah kepada mereka iaitu dua unit lot kedai, mengemukakan butiran akaun bersama dokumen asal kepada Azhar dan PAS kawasan Batu, keseluruhan perbelanjaan dan transaksi kewangan melibatkan hartanah itu termasuk jumlah dan bayaran tebus gadai, butiran penerimaan hasil sewaan hartanah, selain menuntut ganti rugi teladan, kos dan faedah.

Dalam pernyataan tuntutan, kesemua plaintif berkata Azhar dan PAS kawasan Batu telah membeli dua lot kedai di Mukim Batu, dekat sini pada 2001 dengan harga RM250,000 dan hartanah itu dipindah milik dan didaftarkan atas nama plaintif pertama (Md Mansor) sebagai pemegang amanah.

Plaintif mendakwa, bagi tujuan pembiayaan pembelian hartanah itu, Md Mansor telah memohon pinjaman daripada Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) dan plaintif kedua dan ketiga telah membayar ansuran bulanan kepada pihak bank.

Mereka mendakwa kesemua defendan pada ketika itu adalah Ahli-Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS kawasan Batu bagi sesi 2013/2015 dan dilantik sebagai pemegang amanah kepada harta parti tersebut dalam tempoh berkenaan.

Plaintif mendakwa akibat krisis PAS Pusat menjelang Muktamar PAS Pusat Ke-61 pada 2015, kira-kira 16 orang AJK, plaintif kedua dan ketiga, termasuk kesemua defendan meletakkan jawatan sebagai AJK PAS kawasan Batu pada 16 Mac 2015 dan kesemua defendan yang bertindak keluar dari PAS telah menyertai parti AMANAH.

Dakwa mereka pada Nov 2014, PAS kawasan Batu telah menerima surat tuntutan daripada BIMB berhubung tunggakan ansuran bulanan bank bagi hartanah itu dan untuk menyelesaikan hutang, parti itu meminta kesemua defendan untuk menyelesaikan urusan tebus gadai hartanah dengan bank.  — Bernama

Advertisement