Anda di sini

2,500 peserta dijangka hadiri Forum Ekonomi Islam Sedunia

Advertisement
 Suasana persiapan Forum Ekonomi Islam Sedunia Ke-13 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching.
PERSIAPAN AKHIR: Suasana persiapan Forum Ekonomi Islam Sedunia Ke-13 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching.

KUCHING: Lebih 2,500 peserta daripada 60 negara dijangka menghadiri Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) Ke-13 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching yang bermula hari ini hingga 23 November 2017.

Majlis perasmian forum itu akan disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di BCCK hari ini.

Turut dijangka hadir pada majlis perasmian itu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg dan Pengerusi Yayasan WIEF Tun Musa Hitam.

Selain itu, pada hari pertama WIEF, Presiden Indonesia Joko Widodo, Presiden Comoros Azali Assoumani, Naib Presiden Ghana Alhaji Dr Mahamudu Bawumia, Ketua Kerajaan Maghribi Dr Saad Eddine El Othmani, Presiden Republik Tatarstan Persekutuan Rusia Rustam Nurgaliyevich Minnikhanov dan Naib Presiden Bank Pembangunan Islam Dr Mohamed Nouri Jouini akan menyampaikan ucapan khas mereka.

Pada WIEF Ke-13, tujuh topik yang sesuai dengan tema forum bagi membantu negara peserta bersedia dengan Industri 4.0 dan era ekonomi digital.

Topik itu antaranya ialah memetakan perniagaan masa depan, prospek teknologi kewangan, memperkasakan keusahawanan terutama dalam kalangan wanita dan melihat IoT, sama ada ia peluang atau ancaman.

Memandangkan forum ber-kenaan diadakan di Kuching, Sarawak, ia turut merangkumkan satu segmen khas buat negeri ini, iaitu ‘Sarawak Focus’, yang akan diadakan pada hari ketiga.

Tiga isu khusus dipilih iaitu ekonomi digital, pembangunan Sarawak sebagai destinasi premium dan peluang pelaburan di Sarawak terutama berkaitan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang akan menampilkan penceramah daripada kerajaan negeri dan sektor swasta.

Sarawak dipilih sebagai tuan rumah kali ini kerana negeri ini dilihat mendahului banyak negeri lain dari segi pelaksanaan dasar dan rangka kerja undang-undang bagi memaju dan mendepani ekonomi digital secara serius, selain mahu membangunkan SCORE sebagai pusat pelaburan utama negeri.

Sejak mula diadakan 13 tahun lalu, forum ini dianjurkan selang setahun sekali di Malaysia dan di negara lain. Ini kali kedua ia dianjurkan di luar Kuala Lumpur selepas Johor pada 2012.

__alt__
Advertisement