Anda di sini

Berhenti = Mengalah?

Advertisement

Vince Lombardi pernah berkata, “Orang yang menang tidak pernah mengalah dan orang yang mengalah tidak pernah menang.” Bagi saya, pendapat itu SALAH sama sekali! 

Mereka yang menang sentiasa mengalah. Nelson Mandela berjuang dan tabah bertahan dalam sel penjara selama 27 tahun. Beliau dilantik menjadi Presiden Afrika Selatan dan meletak jawatan selepas satu penggal. 

Ramai juga pemimpin bisnes yang hebat yang pernah menarik diri dan beralih arah. Mereka berhenti dan fokus pada aspek yang mampu dijayakan. Sering kali mereka berhenti, tetapi pada masa yang tepat serta atas sebab yang betul.

Beberapa tahun yang lepas, saya berbual panjang dengan seorang insan yang kecewa dengan kerjanya. Gaji yang rendah, masa kerja yang panjang serta bos yang tidak bertimbang rasa menekannya sehingga ke ambang kebinasaan. Dia betul-betul ingin berhenti kerja dan datang bertemu dengan saya untuk mendapatkan nasihat. 

Kalangan kita pernah mengalami keadaan sebegini, sehinggakan terfikir, “mungkin aku sepatutnya berhenti dan beralih arah”. Tetapi adakah anda pasti berhenti kerja adalah pilihan yang terbaik? 

Kadangkala, ada baiknya kita bertahan dan memajukan diri. Saya bertahan di General Electric selama lebih daripada 12 tahun; kemahiran saya meningkat dengan ketara tahun demi tahun.

Jadi, bagaimana boleh kita ketahui bilakah masa yang sesuai untuk berhenti dan beralih arah?

Peraturan dua tahun

Apabila anda terfikir, “Perlukah saya berhenti kerja?”, soalan pertama yang bakal saya ajukan ialah, “Sudahkah anda berkhidmat selama sekurang-kurangnya dua tahun dalam kerja semasa?” Tempoh yang ideal ialah tiga tahun.

Rasional bagi peraturan dua tahun ini adalah seperti berikut:

  • Anda memerlukan sekurang-kurangnya enam bulan untuk memahami peranan anda, proses yang terlibat di sebalik kerja anda serta mampu mengerti unit perniagaan dan bahagian anda bekerja.
  • Anda akan memerlukan paling kurang enam bulan lagi untuk mengenal pasti aspek yang boleh anda tambah baik dan lakukan perubahan.
  • Anda akan ambil enam bulan lagi sebelum anda mampu melaksanakan, membuat perubahan dan mendorong sehingga memberi impak.
  • Anda kemudiannya memerlukan enam bulan lagi untuk melihat hasil kerja anda dan mengetahui sekiranya perubahan yang anda laksanakan berhasil dan mengerjakannya semula jika perlu.

Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Anders Ericson, anda akan membiasakan diri dengan kerja anda dan menjadi betul-betul mahir setelah menghadapnya selama 10,000 jam. 

Jika anda bekerja selama 12 jam sehari, anda akan mencapai tempoh 10,000 jam kerja setelah meluangkan masa selama tiga tahun melakukan kerja tersebut. Jika anda telah berkhidmat sekian lama, maka barulah sesuai untuk anda ajukan soalan seperti “Perlukah saya berhenti kerja?” atau mula berkira-kira untuk memegang jawatan lain di organisasi anda sekarang.

Namun demikian, terdapat beberapa pengecualian bagi peraturan ini. Jika anda rasa diri anda terpinggir, atau rasa berat hati untuk melakukan kerja tersebut, jangan buang masa. Terus beralih arah. 

Pekerjaan anda sepatutnya menyemarakkan nyala rasa, bukannya membuatkan anda terseksa dan menghauskan tenaga. Secara ideal, jangan sesekali meninggalkan sesuatu pekerjaan sebelum berkhidmat selama dua tahun melainkan anda betul-betul pasti bahawa pekerjaan dan syarikat tersebut tidak sesuai untuk anda.

Ada manfaatnya jika bertahan!

Apabila anda berasa gelisah dan tidak puas hati, anda mungkin percaya ini merupakan tanda untuk anda berhenti dan beralih arah. Tetapi janganlah terus angkat kaki apabila riak ketidakpuasan hati baru saja timbul, seperti mana anda tidak seharusnya berfikir untuk bercerai selepas bertengkar dengan pasangan. 

Jika anda merancang untuk berhenti kerja hanya kerana ada konflik di tempat kerja sekarang, anda harus ingat masalah sebegini akan kembali timbul di tempat kerja baharu jika anda tidak ambil masa untuk meneliti kesilapan yang berlaku dalam kerja sekarang. 

Jika anda meletak jawatan tanpa menyelesaikan konflik sedia ada, anda mungkin menimbulkan masalah serupa dalam kerja seterusnya. Maka, selesaikan konflik tersebut sebelum anda meletak jawatan.

Semasa saya di NBC, iaitu sebuah syarikat TV di New York, saya berasa sangat kecewa dengan bos. Saya menyangka dia bencikan saya kerana kerja-kerja yang diberikannya tidak membawa erti dan saya disuruh mengendalikan hal-hal yang remeh.

Saya mula menghantar resume permohonan kerja ke organisasi media yang lain. Saya juga menghadiri beberapa sesi temu duga. Namun seorang mentor yang hebat di NBC menyarankan saya untuk berterus-terang dengan bos. Apabila berhadapan dengan bos, saya memulakan perbualan secara tanpa konfrontasi dengannya. Selepas itu, keadaan jauh bertambah baik kerana sebelum ini dia tersilap membuat anggapan terhadap saya.

Saya bukan sahaja berjaya menangani masalah yang berlarutan selama beberapa bulan, malah saya mampu menjayakan beberapa projek di NBC dan meraih beberapa anugerah selama berkhidmat di sana. Saya bertahan di situ lebih lama dan pengalaman di NBC meninggal kesan yang mengagumkan dalam dunia karier saya.  

Secara praktikal, ada manfaatnya apabila anda bertahan dengan kerja. Sebagai contoh, ada merit yang dikaitkan dengan tempoh perkhidmatan; hakikatnya susah untuk majikan melepaskan seseorang yang terlatih dengan pengetahuan kerja yang begitu mendalam.

Ini bukanlah bermaksud anda perlu bertahan di situ tidak kira apa yang berlaku. Saya percaya bagus untuk kita bertukar angin, terutamanya jika ini membolehkan anda berkembang maju dan keluar dari zon selesa. 

Berhenti atas sebab yang betul. Ingat, bagi kebanyakan orang yang berjaya menangani keadaan yang menjerut leher, istilah berhenti tiada dalam kamus kehidupan mereka.

Bila sepatutnya kita berhenti?

Berikut merupakan beberapa sebab yang munasabah untuk berhenti:

  • Syarikat anda beroperasi tanpa arah tujuan yang jelas, dan anda tidak lagi berasa bangga bekerja di situ. Berhenti kerana ini baik untuk anda dan syarikat.
  • Hubungan anda dengan pengurus ibarat retak menanti belah. Anda telah cuba sedaya upaya untuk membaiki hubungan tetapi masih tidak berhasil. Jika mampu, tinggalkan tempat tersebut dengan baik.
  • Kehidupan anda sudah berubah. Mungkin anda baru menimang cahaya mata, dan budaya kerja di situ tidak sesuai dengan gaya hidup baharu anda. Atau mungkin aspirasi hidup anda telah berubah.
  • Prinsip anda bercanggah dengan prinsip dan budaya syarikat, atau tidak menepati etika anda. Apa-apa isu sekalipun, jangan kekal dalam sesebuah organisasi yang menjejaskan prinsip dan integriti anda.
  • Atas sebab-sebab tertentu, anda mula menunjukkan tingkah laku yang tidak sepatutnya di tempat kerja. Atau anda telah merosakkan hubungan dengan rakan sekerja. Atau reputasi anda sebati dengan kegagalan. Reputasi sebegini, apabila mula melekat dengan diri, sukar sekali untuk dibersihkan, maka lebih baik anda beralih arah apabila mendapat peluang yang lain.
  • Tahap stres anda amat tinggi sehingga menjejaskan kesihatan dan hubungan sosial anda. Jika anda berasa lembik, pertama anda perlu tahu adakah tuntutan kerja anda bertambah sedangkan sumber yang ada terhad. Anda mungkin kehausan tenaga, maka masalah yang perlu diselesaikan adalah berkenaan pengurusan sumber, bukannya mencari kerja baharu.
  • Anda rasa dipinggirkan pengurus anda atas sebab yang tak diketahui, tidak mempedulikan kehadiran anda, tidak mengajak anda turut sama terlibat dalam sesi konsultasi dan membuat keputusan. Jangan lakukan apa-apa sehingga berbincang terlebih dahulu dengan bos untuk mengetahui apakah yang berlaku. Bos anda mungkin memberi isyarat untuk anda meletak jawatan; jika ini yang berlaku, anda perlu faham bahasa badannya.
  • Anda sudah tidak gembira di tempat kerja. Cari punca sebenar yang menyebabkan anda berasa berat untuk pergi kerja. Adakah anda naik bosan? Kerja anda kurang mancabar? Atau adakah anda telah berubah? Jangan tinggalkan kerja tersebut hanya sebab rasa bosan. Cuba cipta semula peranan anda. Meletak jawatan merupakan langkah terakhir. Tetapi jika anda masih tidak ketemui rasa suka terhadap kerja, berhenti sahaja!

Kenali punca sebenar

Jangan sesekali berhenti kerja disebabkan ketakbahagiaan. Jika anda tidak gembira dengan aspek lain dalam hidup, mudah sahaja untuk menyalahkan kerja anda. Jangan harapkan pekerjaan kita mendatangkan kebahagian sekiranya aspek kehidupan yang lain huru-hara. Atasi punca sebenar yang menyebabkan anda tidak gembira dan kerja anda mungkin menjadi lebih baik lagi. Jika anda betul-betul gundah-gulana disebabkan oleh lapan perkara yang telah saya gariskan, maka anda boleh berhenti.

Jika tidak, perbaiki masalah sebenar. Ada pepatah yang berbunyi

“Penuaan merenyukkan badan tetapi berhenti merenyukkan jiwa.”

Jika anda bekerja untuk bos yang lagaknya seperti diktator dan menyeksa jiwa anda, serta anda hampa dengan persekitaran yang menyesakkan dan amalan tikam belakang disebabkan bos yang kurang berwibawa, maka ini merupakan pendorong yang kuat untuk berhenti. Dunia bisnes bukannya seperti dunia bersistem demokrasi. Anda tidak mampu mengubah bos anda. Boleh jadi berhenti ialah jalan yang terbaik. 

Hakikatnya, tindakan berhenti kerja sepatutnya jarang sekali berlaku dalam kerjaya anda. Tempoh menganggur yang terpapar pada resume membuatkan bakal majikan berjaga-jaga untuk mengambil anda bekerja. 

Cari mentor kerjaya. Rajinkan diri berbicara dengan individu dari bahagian sumber manusia, atau berpindah peranan di syarikat sekarang. Anda harus ingat, sekali sahaja anda berhenti kerja, ia boleh menjadi kebiasaan.

Akhir kata

Pokok pangkalnya, kunci kepada kerjaya yang cemerlang adalah terus belajar dan berkembang maju. Maka, setiap kali anda mengambil keputusan untuk berhenti, pastikan anda menggalas cabaran yang lebih besar dalam kerja baharu demi pembelajaran dan kemajuan diri. Jika anda memikul peranan yang sama dan meletak jawatan atas sebab wang, jaga-jaga, ada perangkap yang menanti anda. 

Semasa berhenti, jangan rosakkan hubungan anda dengan pekerja di situ. Biarpun rasa bagus sekali berpeluang mengulangi babak dalam cerita “The Devil Wears Prada”, iaitu babak apabila Anne Hathaway meletakkan gagang semasa bosnya masih bercakap di telefon, dunia kita agak kecil dan anda seharusnya meletak jawatan dengan cara yang baik.  

Kemukakan sebab untuk meletak jawatan secara professional dan pastikan anda mengucapkan terima kasih kepada bos atas peluang yang diberi dan bantu syarikat untuk memudahkan proses peralihan kerja.

Sumber

  • oleh
  • Advertisement