Anda di sini

Perebutan ‘Raja Sungai’ hari ini

Advertisement
 Aksi para peserta acara lumba perahu Regata Sarawak di Tebingan Sungai Kuching, semalam. — Gambar Bernama
BERSAING: Aksi para peserta acara lumba perahu Regata Sarawak di Tebingan Sungai Kuching, semalam. — Gambar Bernama

Pasukan Landas dengan tujuh perahu layak ke final bakal jadi tumpuan Regata Sarawak

KUCHING: Perebutan gelaran Raja Sungai bagi merebut Piala TYT Regata Sarawak 2017 bakal ditentukan hari ini menyaksikan sebanyak 12 perahu mewakili tiga pasukan turun berentap memburu hadiah utama berjumlah RM10,000.

 Peluang cerah bagi merebut kejuaraan itu menyaksikan saingan pasukan Landas dengan tujuh perahu mereka berjaya layak ke final perlumbaan Bidar 30 Pekayuh Lelaki hari ini.

 Begitupun, juara tahun lalu Cahya Enraz Zen turut berpeluang mengekalkan kejuaraan apabila dua perahu mereka turut melangkah ke final pada perlumbaan semalam.

 Tidak ketinggalan, pasukan Yayasan Sarawak Puteri Dang Balai yang mempertaruh tiga perahu untuk bersaing sengit memburu kejuaraan.

 Sementara itu, lima perlumbaan akhir berlangsung semalam dengan tumpuan terarah kepada persaingan Kenyalang 20 Pekayuh (15 Lelaki, 5 Wanita) yang dimenangi Warisan Pantai Damai (1).

 Enraz Cahaya Zen di tempat kedua dan Warisan Pantai Damai A tempat ketiga.

 Perlumbaan akhir Bidar 10 Pekayuh Lelaki menyaksikan Yayasan Sarawak - Puteri Dang Balai mengungguli tempat pertama dan kedua manakala tempat ketiga dirangkul Puteri Berkaya Sri Urai.

 Kategori Balok 7 Pekayuh Wanita yang disertai empat peserta dimenangi Puteri Pantai Damai, tempat kedua diraih Puteri Lang Buana dan N7 Semariang di tempat ketiga.

 Dalam kategori Bidar 10 Pekayuh Wanita, juara milik Swinburne Unicorns, tempat kedua dirangkul Puteri Lang Buana dan ketiga milik N7 Semariang.

 Kategori Balok 7 Pekayuh Lelaki pula diungguli Yayasan Sarawak Puteri Dang Balai, Keris Terbang tempat kedua dan Intan Terpilih (2) di tempat ketiga.

 Selain perebutan Raja Sungai - Piala TYT, sembilan perlumbaan akhir kategorikategori lain turut berlangsung hari ini.

 Sebelah pagi, lima acara akhir akan dilepaskan iaitu Kenyalang 20 Pekayuh Lelaki (IPTA/IPTS), Bidar 15 Pekayuh Lelaki, Bidar 15 Pekayuh Campuran (10 lelaki, 5 wanita - Piala MTACYS), Bidar 20 Pekayuh Campuran (15 lelaki, 5 wanita - Piala Cahya Mata Sarawak) dan Bidar 20 Pekayuh Lelaki (Antara Bahagian - Piala Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak).

 Manakala sebelah petang berlangsung perlumbaan akhir Kenyalang 20 Pekayuh Lelaki, Bidar 20 Pekayuh Lelaki (Piala Petra Energy), Bidar 25 Pekayuh (Piala Petronas) Lelaki dan Bidar 20 Pekayuh Lelaki (VIP).

  • oleh
  • Advertisement