Anda di sini

Berdua lebih baik tema konsert Gegar Vaganza minggu ke-4 malam ini

Advertisement
 Sepuluh bintang GV4 yang akan membuat persembahan malam ini dalam konsert bertemakan ‘Berdua Lebih Baik’.
MALAM INI: Sepuluh bintang GV4 yang akan membuat persembahan malam ini dalam konsert bertemakan ‘Berdua Lebih Baik’.

KONSERT ketiga Gegar Vaganza (GV) musim ke-4 minggu lepas melihat nasib tidak menyebelahi Raja Azura atau lebih dikenali dengan nama Kak Engku walaupun telah memberikan satu persembahan yang menarik apabila perjalanan beliau terkandas dalam konsert yang bertemakan ‘Berani Ke Idok’ itu.

 Dalam konsert berkenaan, Kak Engku menyanyikan lagu yang di luar lingkungan zon selesa dengan lagu ‘Perhaps Perhaps Perhaps’ nyanyian asal Pussycat Dolls.

 Kak Engku memperolehi markah 61.2 peratus yang meletakkan beliau di kedudukan terendah, dengan perbezaan markah hanya 0.2 peratus dengan Elyana.

 Sementara itu, bintang kegemaran ramai, Liza Hanim berjaya mempertahankan kedudukan di tempat pertama dengan markah 83.4 peratus.

 Kreativiti dalam berkarya dan kawalan vokal beliau dipuji oleh pihak juri sewaktu membawakan lagu ‘Lagu Untukmu’ nyanyian asal oleh Meet Uncle Hussein.

 Lagu yang sama juga pernah dinyanyikan oleh penyanyi Nora, peserta ‘GV’ musim lepas.

 Peserta tunggal dari Indonesia, Firman berjaya menebus kekurangan minggu lalu apabila tampil dengan persembahan yang cukup menarik sewaktu membawakan lagu ‘Zalikha’ nyanyian asal Floor 88 sekaligus meletakkan beliau di tangga kedua dengan markah sebanyak 77.6 peratus.

 Lan Kristal dengan markah yang sama iaitu 77.6 peratus juga tidak kurang hebatnya dengan lagu ‘Sayang-Sayang’ Aliff Aziz.

 Konsert GV4 di minggu keempat pada malam ini bertemakan ‘Berdua Lebih Baik’ bakal menyaksikan bintang-bintang GV4 berduet dengan artis pilihan.

 Pada malam ini, Firman bakal berpadu suara dengan pasangan duetnya, Misha Omar untuk menyanyikan lagu ‘Biar Menjadi Kenangan’ nyanyian asal oleh Reza & Masaki Ueda, Hazami & Azharina pula dengan lagu ‘Jangan Pisahkan’ (Deddy Dores & Mayank Sari), Lan Kristal & Siti Nordiana dengan ‘Naluri Cinta’ (Rohana Jalil & To’ki), Tia Jinbara & Aweera dengan ‘Arjuna Mencari Cinta’ (Dewa) dan Aqasha & Tomok dengan ‘Cinta Ini Membunuhku’ (D’Masiv).

 Manakala Aishah akan bergandingan dengan Sam Innuendo menerusi lagu yang pernah dipopularkan oleh Jaclyn Victor & Rio Febrian berjudul ‘Ceritera Cinta’, Liza Hanim & Hafi z Suip dengan lagu ‘Dirgahayu’ (Datuk Siti Nurhaliza & Faizal Tahir), Elyana & Aepul Drama Band dengan ‘Aku Yang Tersakiti’ (Judika), Syura & Bob Yusof dengan ‘Selasihku Sayang’ (Ahmad Jais & Rafeah Buang) dan Haida & Ezad Lazim dengan ‘Memori Daun Pisang’ (Iwan & Amelina).

 Konsert mingguan GV4 akan dipancarkan secara eksklusif dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) serta boleh dinikmati juga di aplikasi Astro GO dan perkhidmatan ‘on demand’ untuk lebih fl eksibel.

 Masih mengekalkan format asal, nasib para bintang diadili sepenuhnya berdasarkan sistem pemarkahan 100 peratus oleh pihak juri yang telah dipertanggungjawabkan untuk menilai persembahan berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan.

 Juara GV4 bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM100,000 beserta trofi sumbangan Astro serta hadiah sampingan lain manakala naib juara pula bakal memenangi wang tunai RM50,000 dan trofi .

 Pemenang tempat ketiga, keempat, kelima dan keenam pula masingmasing akan memenangi wang tunai sebanyak RM30,000, RM20,000, RM15,000 dan RM10,000 beserta trofi dan hadiah sampingan setiap seorang.

Advertisement