Anda di sini

Pakai kostum pengebom bunuh diri, perunding IT kena denda RM400

Advertisement

PETALING JAYA: Tindakan seorang perunding teknologi maklumat warga Yaman memakai kostum pengebom bunuh diri ketika menghadiri parti Halloween membawa padah apabila didenda maksimum RM400 atau penjara empat hari jika gagal membayar denda itu oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Majistret Nurulhuda Zaka-riya menjatuhkan hukuman itu terhadap Amjad Jalal Ahmed Al-Dahan, 34, yang mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Inggeris oleh juru-          bahasa mahkamah.

Dia didakwa melakukan mudarat awam dengan memakai kostum pengebom bunuh diri  di tempat awam di sebuah kondominium di Damansara, di sini pada jam 7.40 malam, 28 Okt lepas mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda maksimum RM400 jika sabit kesalahan.

Terdahulu  peguam Puan Sri N. Saraswathy Devi memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan alasan anak guamnya telah direman seminggu dan memohon maaf atas perbuatannya.

Timbalan Pendakwa Raya Norazalina Razali memohon tertuduh dikenakan hukuman denda yang tinggi sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang awam kerana sukar untuk sesiapa membezakan antara lakonan dan realiti.

Sebelum ini media melaporkan, penduduk kondominium itu membuat laporan polis selepas melihat seorang lelaki berpakaian seperti pengebom bunuh diri ketika menaiki lif untuk menghadiri parti Halloween, bulan lepas. — Bernama

Advertisement