Anda di sini

Lima ‘kelang’ kuntau ke pentas komersil

Advertisement
 Salah seorang ‘guro’ bersama anak-anak muridnya menunjukkan seni kuntau mereka pada  Minggu Sukan berkenaan.
PELUANG: Salah seorang ‘guro’ bersama anak-anak muridnya menunjukkan seni kuntau mereka pada Minggu Sukan berkenaan.

SENI mempertahankan diri tradisi kaum Iban, iaitu kuntau, kini tidak lagi terhad di gelanggang-gelanggang atau lebih dikenali sebagai ‘kelang’ yang terletak di kawasan sunyi, di kampung mahupun di kawasan persendirian, tetapi sudah semakin terbuka kepada umum.

Ini kerana promosi dan penerimaan orang awam terhadap seni pertahanan diri kaum Iban yang semakin menggalakkan serta mendapat sambutan.

Semakin ramai yang ingin melihat sendiri seni pertahanan diri kuntau kaum Iban ini serta tidak kurang yang mahu mempelajarinya, menyebabkan ia mulai diterima secara terbuka di tempat-tempat awam.

Baru-baru ini, syarikat korporat, CSM Management dengan berani tampil ke hadapan untuk ‘mempamerkan’ kuntau kepada umum, sempena promosi Minggu Sukan yang bermula dari 22 Oktober lepas di Commerce Square Mall di Bintulu.

Pengerusi Persatuan Dayak Sarawak (PEDAS) Cawangan Bintulu Pete Bujang berkata, ini merupakan julung kalinya seni pertahanan diri kuntau dipersembahkan di pusat komersil seperti ini.

“Ia adalah peluang keemasan yang tidak akan dilepaskan dan kita amat berterima kasih kepada pihak kompleks berkenaan, khususnya CSM Management kerana telah memberi ruang kepada kita untuk menonjolkan diri di pusat komersil seperti ini.

“Kami amat berterima kasih kerana memberi peluang kepada lima kelang kuntau Iban ini yang bernaung di bawah payung Serakup Kuntau Bintulu (SKB) dalam usaha mempromosikan salah satu tradisi kaum Iban,” tambahnya.

Menurut Pete yang mewakili ‘guro’ kuntau yang dipilih untuk membuat persembahan tersebut, pentas komersil seperti di pusat beli-belah seperti itu merupakan ruang dan peluang terbaik untuk memperkenalkan kuntau kepada masyarakat umum.

“Jika sebelum ini, mereka hanya melakukan dan mempamerkan seni pertahanan diri kuntau di kelang masing-masing, hari ini kita berpeluang melihat kuntau dipersembahankan di pentas umum seperti ini,” tambah Pete lagi. 

Katanya, PEDAS Bintulu amat mengalu-alukan usaha berkenaan dan berharap ia bukan yang pertama dan terakhir, sebaliknya lebih banyak lagi syarikat korporat atau pengusaha pusat komersil akan mengambil langkah yang serupa, bagi mempromosikan kuntau Iban itu.

“Hanya dengan promosi yang berterusan seperti ini, maka seni pertahanan diri tradisi ini dapat berkembang dan apabila ia semakin diterima oleh masyarakat sekelilingnya terutama generasi baharu kaum Iban itu sendiri, baharulah kita dapat mengangkat kuntau setanding dengan sukan mempertahankan diri yang lain,” jelasnya lagi.

Sementara itu, pada promosi Minggu Sukan di Commerce Square Mall di Bintulu baru-baru ini, sebanyak lima kelang kuntau telah dijemput hadir menjayakannya, iaitu Kelang Sinding Ujan Panas; Lang Nginau; Rimau Berantai; Kuntau Spring dan Kelang Pukulan Tujuh.

Kelima-lima kelang kuntau berkenaan telah berpeluang mempersembahkan seni kuntau masing-masing dan demonstrasi mereka, di pentas Minggu Sukan tersebut.

  • oleh
  • Advertisement