Anda di sini

Dadah: Wanita didenda RM8,000 atau 10 bulan penjara

Advertisement

MIRI: Seorang wanita yang menghadapi dua tuduhan iaitu memiliki dan menggunakan dadah berbahaya didenda RM8,000 atau 10 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret semalam.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani pengawasan pihak polis selama tempoh dua tahun.

Noraini Abdullah, 40, dari Jalan Piasau 1F, Piasau Jaya di sini telah didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 serta dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dienda RM5,000 atau penjara dua tahun dan serta-merta dikehendaki menjalani pengawasan selama tempoh tidak kurang dari dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun mengikut Seksyen 38B ADB 1952.

Menurut keterangan kes, tertuduh didapati telah menggunakan dadah berbahaya jenis Amphetamine dan Methamphetamine yang terkandung di dalam Jadual Pertama ADB 1952 (Akta 234), dengan cara memasukkan dadah tersebut ke dalam tubuh badan sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 8.40 malam, 28 Jun tahun ini di sebuah lot di Jalan Dato Permaisuri 2D, Tudan di sini.

Manakala dalam kes kedua, Noraini telah didakwa mengikut Seksyen 12 (2) ADB 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh sebagai seorang yang bukan diberi kuasa sah di bawah ADB 1952, didapati ada memiliki dadah berbahaya jenis Methamphetamine seberat 0.05 gram (berat bersih).

Methamphetamine merupakan satu item yang terkandung di dalam Bahagian III Jadual Pertama ADb 1952.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 10.45 malam, 23 Disember 2011 di sebuah lot di Desa Indah Bandar Baru Permyjaya di sini.

Bagi kesalahan pertama, tertuduh didenda RM3,500 atau empat bulan penjara dan denda RM4,500 atau enam bulan penjara bagi tuduhan kedua.

Sementara dalam satu kes berasingan, tertuduh yang mengaku tidak bersalah atas tuduhan menggunakan dadah berbahaya jenis Amphetamine dan Methamphetamine diperintahkan dibebas dengan jaminan RM2,000 berserta dua penjamin tempatan.

Mahkamah kemudian menetapkan 23 November ini untuk pengurusan kes.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 12.45 pagi, 24 Disember 2011 di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Miri.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor di hadapan Majistret Zuraini Ali Musa.

Advertisement