Anda di sini

Rampasan terbesar

Advertisement
 Salehuddin (tiga kiri) dan anggotanya menunjukkan barang rampasan semalam.
TUMPAS: Salehuddin (tiga kiri) dan anggotanya menunjukkan barang rampasan semalam.

LIMBANG: Taktik menjadikan sebuah kilang bata lama di kawasan Medamit sebagai tempat penyimpanan barang seludup membabitkan mercun, bunga api dan minuman keras terbongkar dalam satu serbuan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Zon Limbang, tengah hari kelmarin.

Kegiatan itu berjaya dihidu selepas PPM Zon Limbang mengadakan risikan dan intipan selama dua minggu seterusnya melakukan rampasan ke atas barangan disyaki seludup bernilai RM1.5 juta sekitar jam 1.30 petang.

Komander PPM Wilayah Lima Sarawak ACP Salehuddin Mat Zaman berkata, ia merupakan rampasan terbesar pihaknya di Sarawak tahun ini dan rampasan ketiga bagi Zon Limbang yang disyaki diseludup masuk untuk pasaran tempatan.

“Jika dilihat dari jalan, kilang bata  lama itu memang tidak digunakan lagi, tetapi dijadikan sindiket untuk menyimpan barang seludup di kawasan itu,” katanya pada sidang media di Pengkalan PPM Zon Limbang semalam.

Salehuddin berkata, operasi diketuai Koperal Aziz Jaafar bersama empat anggota lain.

“Hasil pemeriksaan terdapat beberapa kontena diletakkan di kawasan kilang bata lama itu.

“Bagaimanapun, terdapat dua kontena yang berisi penuh barangan seludup melibatkan mercun, bunga api dan minuman keras yang dianggarkan bernilai RM1.5 juta,” katanya lagi.

Jelasnya, suspek berjaya melarikan diri sebaik menghidu kehadiran pihak berkuasa di lokasi kejadian.

Beliau memberitahu, barangan tersebut dipercayai diseludup menggunakan jalan laut untuk pasaran tempatan menjelang musim perayaan Krismas dan Tahun Baharu Cina.

Ujarnya, barangan tersebut mendapat permintaan tinggi di pasaran tempatan terutama pada musim perayaan itu.

“Unit Perisikan Marin Wilayah Lima juga akan dihantar ke Daerah Limbang untuk membantu dan bekerjasama bagi mengenal pasti jumlah keseluruhan barangan seludup itu sekali gus menyiasat dalang sindiket terbabit,” katanya.

Setakat ini, katanya, pihaknya masih menyiasat sama ada sindiket berkenaan mempunyai kaitan dengan dalang sindiket sama sebelum ini.

Justeru, beliau mahu masyarakat dan agensi kerajaan menyalurkan maklumat berhubung aktiviti penyeludupan terutama melalui jalan laut dengan menghubungi bilik gerakan PPM Zon Limbang.

“Jika ada aktiviti mencurigakan maklumkan kepada bilik gerakan Polis Marin Limbang melalui talian hotline 013-8355355 dan penyalur maklumat akan dirahsiakan,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement