Anda di sini

Penjawat awam negeri terima insentif khas sebulan gaji atau RM2,000

Advertisement

KUCHING: Kerajaan negeri akan memberi insentif khas kepada semua penjawat awam negeri bersamaan dengan gaji asas sebulan atau minimum RM2,000 pada Disember ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ia sebagai pengiktirafan dan penghargaan terhadap perkhidmatan dedikasi penjawat awam negeri yang menyumbang kepada kemajuan serta pertumbuhan negeri yang memberi manfaat kepada rakyat.

"Negeri ini mempunyai keupayaan kewangan untuk melaksanakan bayaran insentif khas ini yang melibatkan anggaran berjumlah RM45 juta dan bayaran insentif khas akan diberikan pada Disember 2017.

"Bayaran insentif khas ini juga memandangkan prestasi kewangan mengkagumkan dan kedudukan kewangan negeri yang sihat, yang disebabkan perkhidmatan mereka yang komited, perbelanjaan berhemat dan disiplin perkhidmatan awam,"  katanya ketika berucap menyampaikan ucapan penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Abang Johari menunjukkan teks ucapan penggulungan beliau pada Persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.
Abang Johari bersama pegawainya menunjukkan teks ucapan penggulungan sebelum membentangkannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.

Abang Johari berkata, beliau percaya bayaran insentif khas akan memotivasikan perkhidmatan awam negeri terus menyampaikan perkhidmatan mereka yang cemerlang.

Sejak bertahun lalu kata beliau perkhidmatan awam Sarawak telah menunjukkan prestasi yang sangat baik meskipun jumlah tenaga kerjanya hanya 22,549 orang (termasuk pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun).

Tambahnya, ia mencerminkan kecekapan mereka meskipun tanggungjawab yang berat dan pertumbuhan pesat dalam bebanan kerja dari segi projek dan program selama bertahun.

  • oleh
  • Advertisement