Anda di sini

Lelaki mengaku tidak bersalah miliki dadah dibenar ikat jamin

Advertisement

MIRI: Seorang lelaki dibenar dibebas dengan jaminan lanjut RM2,800 berserta dua penjamin tempatan setelah mengaku tidak bersalah atas tuduhan memiliki dadah berbahaya jenis Methamphetamine.

Mahkamah kemudian menetapkan 15 Disember depan untuk perbicaraan lanjut.

Ching Yew Chai, 25, dari Vista Perdana, Bandar Baru Permyjaya di sini telah didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta yang sama.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh didenda RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh sebagai seorang yang bukan diberi kuasa sah di bawah ADB 1952, didapati ada memiliki dadah berbahaya jenis Methamphetamine seberat 1.28 gram (berat kasar).

Methamphetamine merupakan satu item yang disenaraikan di bawah Bahagian III Jadual Pertama ADB 1952.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada jam 11.30 pagi, 12 Oktober lalu di rumahnya di Vista Perdana Bandar Baru Permyjaya di sini.

Pendakwaan dilakukan di hadapan Majistret Zuraini Ali Musa.

Dalam kes berasingan, seorang remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret semalam atas tuduhan memiliki dadah berbahaya jenis ganja.

Mohd Sufri Wan Abang, 19, telah didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, yang boleh membawa denda maksimum RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh sebagai seorang yang bukan diberi kuasa sah didapati ada memiliki dadah berbahaya jenis ganja seberat 0.40 gram.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 2.30 pagi, 12 November lalu di hadapan persimpangan lampu isyarat di Jalan Marina Utama di sini.

Terdahulu, pegawai pendakwa memohon ditetapkan satu tarikh baharu untuk sebutan lanjut memandangkan laporan kimia berhubung barang kes masih belum siap.

Mahkamah membenarkan permohonan itu dan menetapkan 5 Disember depan untuk sebutan lanjut kes.

Advertisement