Anda di sini

Fee Haiqal rancang ketengah muzik irama Malaysia Gen Y

Advertisement
 Fee Haiqal merancang untuk menghasilkan lagu berirama Malaysia Generasi Muda dengan berduet bersama ibunya.
DUET BERSAMA IBU: Fee Haiqal merancang untuk menghasilkan lagu berirama Malaysia Generasi Muda dengan berduet bersama ibunya.

KUALA LUMPUR: Anak penyanyi Noraniza Idris, Fee Haiqal merancang untuk menghasilkan lagu berirama Malaysia Generasi Muda dengan berduet bersama ibunya.

Fee atau nama sebenarnya Mohd Alfeeq Haiqal Mohammad Fauzi, 24, berkata beliau berpendapat irama Malaysia Generasi Muda boleh dibawa selari dalam bentuk genre pop dan R & B dengan ‘twist’ Gen Y.

Katanya, sebilangan besar generasi muda zaman sekarang lebih gemar mendengar muzik-muzik berbentuk genre tersebut, namun irama Malaysia ada lenggoknya yang unik yang pasti memberi kelainan kepada muzik-muzik yang ada sekarang.

“My mom tau about this, and she is very excited and said why not (Ibu saya tahu tentang ini, dan dia cukup teruja dan berkata mengapa tidak?).

“Kita cuba buat sesuatu yang lain yang baharu,” katanya selepas menghadiri Program Bicara 9/11, Bernama News Channel di sini, pada 14 Nov lepas.

Fee bagaimanpun enggan mendedahkan bila single duet bersama ibunya akan dikeluarkan dan hanya menjawab: ‘Just Wait’, sambil tersenyum lebar.

Selain berbakat menulis dan mencipta lagu, anak bongsu dua beradik ini turut memasang visi untuk tidak terikat dengan sesuatu genre lagu.

Beliau berkata secara peribadi beliau tidak mahu statik terhadap sesebuah genre semata-mata, sebaliknya, ingin mencuba pelbagai genre bagi mencari keserasian dan berusaha menyanyikan semua jenis lagu dengan baik.

Fee yang baharu sahaja mengeluarkan single terbarunya pada September lalu berjudul ‘Aku Mencari’ berhasrat mengeluarkan single setiap selang dua atau tiga bulan supaya lagunya sentiasa ada di dalam industri muzik.

Kata Fee, ibunya sentiasa menyokong minat anak-anak dan ibunya adalah individu paling kuat memberi dorongan apabila dia menyatakan hasrat untuk menyanyi, termasuk memberi tip sebagai persediaan melangkah ke dunia seni.

Mengharapkan maklum balas positif daripada pendengar, Fee yang bakal muncul dengan single terbaru berjudul ‘Matahari’ dalam tempoh terdekat juga menjadikan persaingan dalam kalangan penyanyi seangkatan sebagai satu senario sihat untuk cabar diri, seterusnya menjadi lebih baik daripada sebelum ini. — Bernama

  • oleh
  • Advertisement