Anda di sini

Usaha bangunkan usahawan tempatan

Advertisement

Menerusi inisiatif MOIBF 2017

AWANG Adek (tengah) melawat tapak pameran oleh usahawan tempatan sempena forum MOIBF 2017.
AWANG Adek (tengah) melawat tapak pameran oleh usahawan tempatan sempena forum MOIBF 2017.

KOTA KINABALU: Inisiatif Forum Perniagaan Antarabangsa Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Organisasi Pembangunan, Kerohanian dan Kebudayaan (OISCA) keenam (MOIBF) 2017 membuktikan komitmen dalam mempromosi serta membangunkan usahawan tempatan menceburi pasaran antarabangsa.

Pengerusi MARA Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata pengetahuan dan hubungan yang diperoleh melalui MOIBF sangat berguna bagi usahawan mengembangkan perniagaan, memenuhi tuntutan serta keperluan pasaran luar negara.

“Bagi pihak MARA dan kerajaan, saya juga mengalu-alukan peserta forum dan rakan strategik di dalam mahupun luar negara seperti Jepun, Brunei Darussalam, Indonesia, Azerbaijan dan Myanmar yang mana, mampu membuka peluang perniagaan, mewujudkan rangkaian perniagaan serta memudahkan pemadanan perniagaan dalam kalangan usahawan mahupun peserta lain.

“Kita berharap usahawan Bumiputera khususnya akan meneroka potensi baharu di pasaran antarabangsa dan pelbagai strategi pemasaran untuk mendapatkan produk mereka di luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan MOIBF keenam 2017 di Magellan Sutera Resort pada Selasa.

Katanya hubungan antara MARA dan OISCA bermula sejak 1967 melalui program latihan perindustrian di Jepun yang membolehkan pelajar Malaysia mendapat pengalaman, pengetahuan teknologi dan peluang untuk mempelajari budaya, nilai serta etika kerja Jepun yang terkenal.

Hubungan jangka panjang antara MARA dan OISCA sudah pasti mencerminkan kepercayaan serta keyakinan berterusan mereka kepada kami.

AWANG Adek (tiga kiri) menyaksikan pertukaran dokumen antara pemain industri tempatan dan Jepun.
AWANG Adek (tiga kiri) menyaksikan pertukaran dokumen antara pemain industri tempatan dan Jepun.

“Malah, OISCA Antarabangsa Jepun telah membantu lebih 1,000 pelajar kita, bukan sahaja untuk melanjutkan pengajian tetapi juga menjalankan latihan perindustrian di Jepun dalam bidang automotif, kimpalan, nuklear, solar dan teknologi strategik baharu bagi menghasilkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi, ahli teknologi berkomputer berpengalaman serta usahawan teknologi berpotensi tinggi.

“Contohnya, ramai graduan MARA yang menjalani program latihan di OISCA kini menjadi usahawan dalam industri masing-masing di Malaysia dan berjaya memainkan peranan besar dalam meningkatkan ekonomi negara kita,” jelasnya.

Dalam pada itu, Awang Adek berkata lebih daripada 50 usahawan bumiputera di bawah program MARA mempunyai hubungan perniagaan dengan syarikat Jepun pada anggaran nilai perniagaan melebihi RM200 juta dan berjaya mewujudkan peluang pekerjaan kepada lebih 2,000 orang.

Katanya Forum Perniagaan Antarabangsa berkenaan sebagai satu langkah ke hadapan membantu usahawan untuk mengembangkan perniagaan mereka melalui usaha sama MARA-OISCA.

Menurutnya tema ‘Meningkatkan Rangkaian Usahawan’ forum itu memfokuskan kepada agro pelancongan, industri makanan dan minuman, kraf serta perkhidmatan termasuk produk halal yang mana, pemilihan sektor perindustrian adalah berdasarkan kepada kekuatan aktiviti ekonomi Sabah serta keperluan usahawan luar negara terutama dari Jepun.

“Malaysia dengan ekosistem perniagaan halal yang komprehensif dan sistematik menjadi salah satu pemain utama dalam industri makanan halal global,” katanya.

 Awang Adek berkata dengan lokasi strategik, kemudahan infrastruktur dan pengembangan pesat perusahaan perniagaan kecil dan sederhana (PKS) serta pengiktirafan antarabangsa sebagai negara Islam moden, Malaysia bermatlamat untuk menjadi Hab Halal global menjelang 2020.

Menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), eksport produk halal merekodkan RM42 bilion pada 2016 dan jumlah itu masih kecil berbanding pasaran halal global sebanyak AS$2.3 trilion.

Dianggarkan sebanyak 1,257 PKS telah terlibat dengan eksport produk dan perkhidmatan halal di Malaysia.

Sementara itu, forum berkenaan turut menyaksikan empat pertukaran dokumen perjanjian persefahaman (MOU) antara pemain industri tempatan dan Jepun hasil daripada penganjuran MOIBF tahun sebelumnya.

AWANG Adek (enam kanan) merakamkan gambar kenangan bersama tetamu kehormat lain serta pemain industri tempatan dan Jepun selepas majlis pertukaran dokumen MOU.
AWANG Adek (enam kanan) merakamkan gambar kenangan bersama tetamu kehormat lain serta pemain industri tempatan dan Jepun selepas majlis pertukaran dokumen MOU.
AWANGAdek (depan, tengah) merakamkan gambar kenangan bersama peserta forum dan tetamu kehormat.
AWANG Adek (depan, tengah) merakamkan gambar kenangan bersama peserta forum dan tetamu kehormat.
  • oleh
  • Advertisement