Anda di sini

Serangan tembakan rambang di California

Advertisement

Empat terbunuh, kira-kira 12 cedera apabila lelaki dengan tiga senjata api mengamuk

 Seorang pegawai polis membuat siasatan di salah satu tempat kejadian selepas serangan tembakan rambang di Rizab Rancho Tehama, California kelmarin. — Gambar AFP
TRAGIK: Seorang pegawai polis membuat siasatan di salah satu tempat kejadian selepas serangan tembakan rambang di Rizab Rancho Tehama, California kelmarin. — Gambar AFP

CALIFORNIA: Empat maut dan hampir 12 cedera, termasuk dua kanak-kanak, apabila seorang lelaki bersenjata mengamuk kelmarin, memilih sasaran secara rambang di sebuah sekolah dan lokasi lain di kawasan luar bandar utara California.

Penolong Syerif Daerah Tehama Phil Johnston memberitahu pemberita, penyerang tersebut dibunuh polis selepas serangan itu yang bermula kira-kira jam 8 pagi di sebuah rumah di Rizab Rancho Tehama sebelum merebak ke beberapa lokasi dalam komuniti tersebut, termasuk sekolah rendah. 

Beliau berkata, tiada kanak-kanak maut dan motif serangan belum jelas, tetapi ia mungkin ada kaitan dengan pertikaian domestik dan sejarah perselisihan faham dengan jiran.

Dari awal lagi kami mendapati seorang individu memilih sasaran secara rambang,” kata Johnston pada satu sidang akhbar.

Beliau berkata, seorang budak cedera terkena tembakan di sekolah berkenaan, seorang lagi mengalami kecederaan yang tidak mengancam nyawa ketika menaiki kereta bersama ibunya, yang cedera teruk.

Johnston berkata, lelaki bersenjata itu yang belum lagi dikenal pasti, melakukan serangan setelah mencuri kenderaan jiran dan kemudian cuba mendapatkan akses ke sekolah tetapi tidak berjaya kerana ia ditutup.

Beliau berkata, suspek yang memakai ves ala tentera, meninggalkan sekolah untuk meneruskan serangannya dan menyebabkan kenderaan lain terbabas.

Suspek kemudian mencuri kenderaan kedua sebelum terbunuh ketika berbalas tembakan dengan polis.

Seorang daripada empat mangsa adalah seorang wanita yang dikatakan pernah menjadi mangsa serangan tikaman suspek, kata Johnston.

Penduduk Rancho Tehama, Salvador Tello, yang dalam perjalanan menghantar tiga anaknya ke sekolah, menceritakan bagaimana beliau melihat lelaki bersenjata itu melepaskan tembakan dan membunuh seorang wanita.

Tello berkata, beliau ternampak peluru terkena trak di hadapannya lalu meletakkan anak-anaknya di bawah untuk melindungi mereka dan mengundurkan traknya, menurut pemberita akhbar Redding Record Searchlight Jim Schultz dalam Twitter.

Ketika beliau hendak beredar dari tempat kejadian, beliau ternampak seorang wanita terlentang di atas jalan raya, dipercayai mati, dan suaminya yang cedera di sisinya, diberitahu bantuan dalam perjalanan.”

Seorang lagi saksi Casey Burnett berkata, lelaki bersenjata itu memandu tidak tentu arah dan menembak secara rambang dari keretanya.

Penduduk setempat Brian Flint memberitahu media tempatan bahawa rakan sebiliknya telah ditembak mati penyerang.

Dia sudah mati. Dia tidak terselamat,” kata Flint kepada KCRA, yang merujuk kepada rakan sebiliknya.

Beliau berkata, penyerang terbabit adalah jirannya dan kebelakangan ini melepaskan ratusan das tembakan dengan magazin besar.

Johnston memberitahu pemberita bahawa selaras raifal separa automatik dan dua pucuk pistol dijumpai di tempat kejadian.

Beliau menambah kata bahawa kira-kira 100 pegawai penguatkuasaan undang-undang menangani serangan itu.

Redding Record Searchlight berkata, antara mangsa yang cedera adalah seorang budak berusia enam tahun yang mengalami dua luka tembakan dan seorang lagi budak yang terkena tembakan di bahagian kaki.

Sekolah rendah berkenaan terletak di pinggir Corning, bandar pengeluar minyak zaitun dengan kira-kira 8,000 penduduk kira-kira 160 kilometer ke utara ibu negeri Sacramento. — AFP

Advertisement