Anda di sini

Pukul kekasih, bekas pemandu bas didenda RM4,000

Advertisement

PETALING JAYA: Akibat memukul kepala teman wanita  menggunakan tukul besi,  seorang penganggur didenda RM4,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda itu oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Majistret Zaki Asyraf Zubir menjatuhkan hukuman itu terhadap A. Kesavan, 26, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan mencederakan kepala B. Vekaneswari, 29,  dengan menggunakan tukul besi di sebuah rumah di Kelana Jaya, di sini, pada 2.30 petang, 3 Okt lepas.

Bekas pemandu bas itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Terdahulu, tertuduh merayu kepada mahkamah supaya dikenakan hukuman berbentuk denda yang ringan dengan alasan dia telah insaf, bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Fazeedah Faik memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran. — Bernama

Advertisement