Anda di sini

Kampung Empila wajar jadi contoh kampung-kampung lain di Sarawak

Advertisement

KUCHING: Kampung Empila di Asajaya, Samarahan, wajar menjadi kampung contoh yang menjadi ikutan kampung-kampung lain di Sarawak.

Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan Datuk Peter Minos berkata, kampung itu dikawal oleh 20 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dalam memastikan keselamatan terus dipelihara, selain budaya penduduk kampung yang saling menghormati dan bantu membantu.

Selain berusaha mengindahkan persekitaran dengan menanam bunga dan sayur katanya, penduduk kampung turut mengitar semula tayar lama dan sisa plastik sebagai hiasan luar dan juga menyediakan tong sampah berasingan bagi plastik, kaca dan kertas serta buangan organik lain.

“Tindakan membuang sampah di sungai berhampiran turut ditegah atau akan berdepan denda oleh jawatankuasa kampung.

“Paling menakjubkan, kampung ini mempunyai industri desa tempatan sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Minos berkata, penduduk kampung menternak lebah kelulut untuk menjual madu, menanam benih bagi menjual cili dan terung, menjual pelbagai biskut dan kek tempatan, menanam kelapa, buah dan sayur-sayuran selain menubuhkan bengkel kereta serta kedai runcit.

Mereka juga bekerjasama dengan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) dalam penanaman kelapa sawit manakala seorang penanam cili di kampung itu telah menanam 60 spesies cili dari 60 negara dengan memperolehi benih dalam talian.

“Lebih menarik, mereka mempunyai kolam renang besar untuk kegunaan kanak-kanak di kampung pada hujung minggu memandangkan sungai berhampiran ada buaya.

“Ini adalah sesuatu yang mengagumkan kerana melindungi kanak-kanak daripada ancaman buaya,” katanya.

Menurut Minos, penduduk Kampung Empila amat bersatu padu dan saling bertolak ansur serta menghormati kepelbagaian masyarakat.

Advertisement