Anda di sini

Curi: Lelaki dipenjara enam bulan dan denda RM2,000

Advertisement

MIRI: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM2,000 atau sebulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini kelmarin setelah mengaku bersalah atas tuduhan mencuri pelbagai barang kepunyaan seorang lelaki lain.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara ke atas tertuduh dikuatkuasakan mulai tarikh tangkapan pada 23 Oktober lalu.

Al-Muhammad Yunus Mohd Faizal, 31, dari Kampung Lereng Bukit di sini didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Jika sabit kesalahan dia boleh dikenakan hukuman penjara 10 tahun dan denda.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didapati mencuri wang tunai RM900, satu unit bank kuasa (power bank), tiga utas tali pinggang, satu alat pelurus rambut, syampu dan alat pengecas bateri telefon bimbit semuanya bernilai RM1,600 kepunyaan Ahmed Nazirul Affindee.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat bersama Nurul Ashikin Bujang (tertuduh kedua) jam 5.30 pagi, pada 7 Oktober lalu di sebuah bilik hotel bajet di Marina Bay di sini.

Semasa sebutan pertama kes pada 26 Oktober lalu, Al-Muhammad dan Nurul, 31, juga dari Kampung Lereng Bukit di sini masing-masing mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu dan mahkamah kemudian menetapkan 8 Disember depan untuk perbicaraan lanjut.

Bagaimanapun, tertuduh ditahan lanjut di Penjara Pusat Miri kerana gagal membayar wang jaminan ddan ibawa ke mahkamah kelmarin kerana berhasrat menukar pengakuannya kepada bersalah.

Di hadapan mahkamah, tertuduh tidak diwakili merayu agar hukuman ke atasnya diringankan.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor di hadapan Majistret Zuraini Ali Musa.

Advertisement