Anda di sini

Bapa enam anak didakwa rogol kanak-kanak 12 tahun

Advertisement

MELAKA: Seorang bapa enam anak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Ayer Keroh di sini semalam atas pertuduhan merogol seorang kanak-kanak berusia 12 tahun, tiga tahun lepas.

Tertuduh yang berumur 32 tahun itu didakwa melakukan kesalahan terhadap kanak-kanak perempuan yang juga rakan kepada adik lelakinya itu di sebuah rumah di Umbai, Jasin dekat sini, antara jam 1 petang dan 4 petang, Feb 2014.

Tertuduh yang bekerja sebagai pemetik kelapa didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 30 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 Dis untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa ASP Nora Yaacob, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. — Bernama

Advertisement