Anda di sini

Askar pembelot Utara parah ditembak

Advertisement
 Seorang pegawai tentera Korea Selatan (dua kiri) memerhatikan anggota perubatan merawat seseorang yang dipercayai askar Utara yang berpaling tadah, di sebuah hospital di Suwon, selatan Seoul kelmarin. — Gambar AFP
KRITIKAL: Seorang pegawai tentera Korea Selatan (dua kiri) memerhatikan anggota perubatan merawat seseorang yang dipercayai askar Utara yang berpaling tadah, di sebuah hospital di Suwon, selatan Seoul kelmarin. — Gambar AFP

SEOUL: Seorang anggota tentera Korea Utara yang terlibat dalam pembelotan dramatik ke Selatan parah ditembak enam kali oleh pihaknya sendiri ketika memandu ke arah sempadan yang dikawal dengan ketat dan berlari merentasi dalam keadaan ditembak bertubi-tubi.

United Nations Command (UNC) yang diketuai Amerika Syarikat (AS) dan mengawasi kampung perjanjian sempadan Panmunjom di mana tindakan pembelotan itu berlaku kelmarin, menyatakan anggota tentera itu telah memandu menghampiri garisan sempadan tentera yang dikawal dengan ketat memisahkan dua negara Korea tersebut.

“Dia kemudian keluar dari kenderaan dan terus berlari ke Selatan melepasi garisan sebelum ditembak anggota tentera Korea Utara yang lain,” menurut UNC.

Seorang pegawai Ketua Staf Bersama Korea Selatan menyatakan pengawal sempadan Utara telah melepaskan sekurang-kurang 40 das tembakan.

Seorang doktor yang merawat anggota terbabit, yang dikejarkan dengan helikopter ke hospital bagi pembedahan kecemasan, menyatakan dia ditembak enam kali dan cedera parah di bahagian perut.

“Mangsa mempunyai sekurang-kurangnya enam kecederaan akibat tembakan pada badannya dan luka pada bahagian perutnya paling serius,” Lee Cook-Jong memberitahu wartawan.

“Organnya mengalami kerosakan teruk, kami tidak tahu berapa lama dia akan mampu bertahan,” kata Lee, menyatakan keadaan anggota tentera itu sebagai amat parah.

Jarang sekali pasukan tentera Utara berpaling tadah di kampung perjanjian, tarikan utama pelancong berhampiran garisan sempadam dan hanya sebahagian sempadan di mana pasukan tentera dari kedua-dua pihak bersemuka.

Gencatan senjata pada 1953 menamatkan ketegangan Peperangan Korea telah ditandatangani di Panmunjom, kemudian ia menjadi tuan rumah beberapa pusingan rundingan di antara Korea, kadangkala dalam pondok di garisan sempadan.

Fakta bahawa orang yang berpaling tadah telah memandu ke sempadan mencadangkan mangsa mungkin bukan anggota bagi pasukan elit tentera Korea Utara yang dikerahkan ke Panmunjom kerana mereka ditapis teliti dan dipilih berdasarkan kesetiaan.

Tiada pelancong yang hadir pada masa itu, kerana lawatan tidak dijalankan pada Isnin.

Menurut tentera Korea Selatan di sana, tiada kejadian berbalas tembakan berlaku di sekitar sempadan, dan kenyataan UNC menegaskan tiada anggota tentera dari Korea Selatan atau AS yang tercedera.

Insiden yang berlaku jam 4 petang waktu tempatan, muncul ketika ketegangan meningkat di semenanjung Korea mengenai program senjaya nuklear.

Tidak seperti bahagian lain di sempadan, Panmunjom tidak dilengkapi dengan periuk api dan kawat berduri serta sempadan hanya ditandakan dengan pemisah konkrit pendek.

Selepas berlari melintasi sempadan, anggota tentera itu berlindung berhampiran sebuah bangunan di bahagian Selatan.

Pegawai Ketua Staf Bersama menyatakan anggota terbabit pengsan di atas timbunan daun kering dan ditemui tiga anggota tentera Korea Selatan yang merangkak ke arahnya.

Pada 1984, seorang rakyat Soviet berlari melintasi sempadan dari Korea Utara ke Selatan di Panmunjom dalam usaha berpaling tadah, menimbulkan pertempuran bersenjata yang membunuh dan mencederakan beberapa anggota tentera kedua-dua pihak.

Anggota tentera Korea Utara bersenjatakan kapak menetak dua anggota tentera AS sehingga mati di Panmunjom dalam satu perbalahan pada 1976 mengenai cubaan untuk memotong sebatang pokok di sana. — AFP

Advertisement