Anda di sini

Pili, pancuran, mesin basuh wajib cekap air mulai 2019

Advertisement
 Mohd Ridhuan ketika sidang media mengenai Skim Pelabelan Produk Cekap Air (SPPCA) di SPAN semalam. — Gambar Bernama
SIDANG MEDIA: Mohd Ridhuan ketika sidang media mengenai Skim Pelabelan Produk Cekap Air (SPPCA) di SPAN semalam. — Gambar Bernama

CYBERJAYA: Pili air, pancuran mandi dan mesin basuh antara produk wajib memiliki Skim Pelabelan Produk Cekap Air (SPPCA) sebelum dipasarkan bermula 2019, kata Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Datuk Mohd Ridhuan Ismail.

Beliau berkata, perkara itu yang akan diusulkan kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) adalah antara usaha SPAN sejak Januari 2013 dalam menggalakkan orang ramai menjimatkan penggunaan air dengan menggunakan produk cekap air.

Pada tahun lepas, katanya penggunaan air domestik setiap penduduk di negara ini secara puratanya 209 liter sehari,  lebih tinggi daripada sasaran nasional iaitu 180 liter sehari.

Walaupun harga produk cekap air agak mahal iaitu sekitar 20 peratus daripada produk biasa, namun dari segi penjimatan jangka panjang yang dapat dinikmati pengguna adalah sehingga 50 peratus sebulan.

Buat masa ini, dua produk iaitu tangki simbah tandas dan injap simbah urinal telah diwajibkan untuk memiliki penarafan SPPCA bagi projek pembangunan baharu bermula 2014,” katanya pada sidang media bersempena Kempen Kesedaran Umum Tentang SPPCA di sini, semalam.

Beliau berkata, SPPCA merupakan cara untuk memaklumkan kepada pengguna mengenai tahap kecekapan air bagi sesuatu produk berdasarkan penarafan tiga bintang mengikut skala penggunaan air iaitu satu bintang (produk cekap air), dua bintang (produk sangat cekap air) dan tiga bintang (produk paling cekap air).

Mohd Ridhuan berkata buat masa ini, pendaftaran skim SPPCA hanya menarik 15 pengeluar untuk mendaftarkan 239 produk mereka sejak diperkenalkan pada empat tahun lalu berbanding ribuan produk yang berada di pasaran.

Kami mendapati tidak ramai pengguna tahu tentang kepentingan SPPCA. Oleh itu melalui kempen yang akan diadakan mulai 17 November ini di sekitar Lembah Klang, (diharapkan)  akan menarik perhatian pengguna mengenai penjimatan yang dapat dilakukan melalui produk cekap air,” katanya.

Katanya, pihaknya akan turut melaksanakan kempen yang sama di seluruh Semenanjung pada tahun hadapan.

SPAN bertanggungjawab mengawal selia dengan memantau daripada aspek ekonomi, teknikal dan sosial bagi industri air merangkumi sektor bekalan air dan sektor pembetungan di seluruh Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan. — Bernama

Advertisement